Jumaat, 2 September 2016

Amanah mesyuarat 5 September tentukan jawatan Husam dalam parti

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Kedudukan ADUN Salor, Datuk Husam Musa dalam Amanah akan ditentukan selepas parti itu bermesyuarat Isnin ini (5 September).
 
Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, mesyuarat itu perlu berikutan tindakan Husam sebelum ini yang menolak jawatan peringkat nasional dalam parti itu.
 
"Kita akan bincang 5 September ini di Wisma Amanah di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, selepas menyambut kepulangan Husam dari Kuala Lumpur semalam.
 
Husam yang juga bekas naib presiden PAS mengumumkan menyertai Amanah pada satu majlis makan malam di Cyberjaya, Selasa lalu.
 
Penyertaan Husam ke dalam Amanah adalah selepas empat bulan beliau dipecat daripada PAS susulan lantang mengkritik presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno.
 
Dalam pada itu Abdul Rahim berkata janjinya untuk menyerahkan jawatan pengerusi Amanah Kelantan kepada Husam apabila pemimpin itu menyertai Amanah, masih dipegang.
 
Bagaimanapun dalam reaksi kepada perkara itu, Husam berkata, soal jawatan dan kedudukan dalam parti adalah tidak penting bagi dirinya dan terpulang kepada Amanah untuk menentukan kedudukannya dalam parti itu. 
 
 

Tiada ulasan: