Khamis, 26 November 2015

SD kertas pertuduhan: 'Skrip teruk, lakonan buruk, masa tepat'

MALAYSIAKINI


 


Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan menolak surat akuan sumpah berkanun (SD) yang dibuat oleh adik Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais yang mati dibunuh sebagai "satu lagi wayang”.

"Satu lagi wayang dengan skrip teruk dan pelakon yang juga sama buruk," tulisnya dalam twitter.

Katanya, yang menarik, dakwaan oleh Charles Suresh Morais itu dibuat sejurus sebelum perhimpunan agung Umno yang dijadualkan bermula pada 8 Disember.

"Dakwaan menakjubkan oleh Charles Morais selepas lama kejadian (pembunuhan) itu berlaku, tetapi sebelum AGM Umno. Masa yang tepat," katanya.

Charles pada sidang akhbarnya semalam mendakwa bahawa beliau memiliki pen drive yang diberi oleh abangnya sebelum beliau menghilangkan diri.

"Ia kini selamat di Amerika Syarikat bersama seseorang yang diarah mendedahkan kandungannya kepada umum sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada saya berhubung akuan sumpah berkanun ini.

"Kandungan pen drive itu dengan jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan bahawa Kevin telah diarahkan melakukan sesuatu sebelum kematiannya yang dikaitkan dengan seseorang personaliti yang berkuasa di Malaysia," kata Charles dalam akuan sumpah berkanun itu.

Menurut Charles, abangnya memberitahunya pada Ogos lalu bahawa beliau akan mengirimkan sesuatu kepadanya. Pendrive itu tiba pada Oktober.

Mayat timbalan pendakwa raya itu ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya, Selangor pada bulan September.

Charles juga dalam SD itu berkata dakwaan draf kertas pertuduhan ke atas terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didedahkan oleh laman web Sarawak Report mempunyai singkatan tandatangan (initials) abangnya.

Tiada ulasan: