Rabu, 25 November 2015

PAU2015: Zahid dan Hishamuddin ditugas kendalikan sidang media harian PAU 2015

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sebarang makluman dan kenyataan mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU2015) akan hanya diberikan oleh  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku naib presiden parti.
 
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkta perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.
 
"Kita telah putuskan bahawa pada Perhimpunan Agung 2015 kali ini kita akan bagi sidang media setiap hari, media tidak benar berlegar merata-rata. Dan kita tidak akan pancarkan apa yang berlaku dalam dewan Merdeka kepada semua stesen tv. 
 
"Setiap hari Naib Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin akan adakan sidang media dan kupas apa yang berlaku dalam perhimpunan agung kali ini," katanya di lobi Parlimen sebentar tadi. 
 
Ditanya samada seorang lagi naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal akan turut sama memberi sidang media berkenaan, Tengku Adnan berkata MT bersikap terbuka mengenai perkara itu. 
 
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang ditemui di lobi Parlimen memberitahu PAU2015 juga akan berlangsung secara tertutup bagi mengelak ia diputarbelitkan pihak tertentu, terutama media dalam talian atau portal dan turut melibatkan media perdana.
 
"Sebab separuh daripada kamu (media) ni, media dalam talian suka putar belit, kami tidak mahu berita diputarbelitkan,” katanya.
 
"Kita tak benarkan media berlegar merata dan kita pun tidak akan pancarkan apa yang berlaku dalam Dewan Merdeka kepada kamera litar tertutup. (Hanya) Untuk ucapan dasar, barangkali kami akan benarkan (liputan media),” katanya.
 
Sebelum ini, hanya beberapa wakil media dibenarkan berada di Dewan Merdeka, venue utama perhimpunan agung manakala perhimpunan perwakilan sayap di dewan berasingan adalah terbuka kepada semua media.
 
Pada masa yang sama, perjalanan persidangan dan perhimpunan boleh diikuti menerusi CCTV yang diletakkan di pusat media yang disediakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
 
Tengku Adnan berkata perkembangan perhimpunan itu akan disampaikan kepada media secara kenyataan bertulis dan sidang media akan diadakan.
 
 

Tiada ulasan: