PUTRAJAYA,  Usaha untuk mendesak kerajaan bagi menghapuskan Akta Hasutan 1948 tidak pernah putus selepas kira-kira 50 aktivis hadir bagi menyerahkan memorandum kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Namun, kehadiran mereka hanya disambut Pegawai Khas Peguam Negara, Mabel Sheela di lobi Pejabat Peguam Negara di Putrajaya, di sini.

Kekecohan kecil berlaku apabila pengawal keselamatan enggan membenarkan aktivis tersebut naik bagi membincangkan perjumpaan mereka dengan Peguam Negara.

Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasam berkata, pihaknya akan menghantar surat bagi mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara mengenai penyalahgunaan Akta Hasutan ini.

Menurutnya, surat tersebut akan dihantar dalam tempoh sehari atau dua dan berharap pertemuan dapat dilalukan sebelum Disember ini.

“Kami melihat peningkatan kes membabitkan Akta Hasutan ini semakin meningkat sejak beliau (Apandi) dilantik sebagai Peguam Negara dan ini membimbangkan.

“Kami berharap mereka dapat memberi maklum balas sebelum perbicaraan membabitkan pensyarah undang-undang Azmi Shahrom pada awal Disember ini yang didakwa mengikut Akta Hasutan,” katanya ketika ditemui media di luar pejabat Peguam Negara di sini.
Ngo 1
Sejak 2013, terdapat peningkatan sebanyak 1,700 peratus dalam pertuduhan hasutan 
berbanding tempoh antara 2007 dan 2012. – Foto TRP/Noraizura Ahmad
Sebelum ini, kumpulan yang sama di bawah nama Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) kepada Kementerian Dalam Negeri dan ini merupakan kali pertama memerondum berhubung desakan memansuh Akta Hasutan di serahkan kepada Peguam Negara.

Ambiga menegaskan, pihaknya tidak akan berputus asa untuk terus mendesak akta tersebut dihapuskan.
Sementara itu, peguam, Latheefa Koya berkata, sejak Julai 2015, dua Ahli Parlimen pembangkang dan lima aktivis didakwa di bawah akta itu.

Katanya, sejak 2013, terdapat peningkatan sebanyak 1,700 peratus dalam pertuduhan hasutan berbanding tempoh antara 2007 dan 2012.

“Kami perhatikan pengunaan berterusan akta ini boleh memberikan gambaran negatif terhadap negara di peringkat global dan mengundang kritikan di antarabangsa.

“Yang menjadi zalim dalam Akta Hasutan ini apabila niat tidak diperlukan iaitu apabila mengeluarkan kata-kata tetapi niat sudah tidak relevan dalam akta ini,”katanya.

Beliau berkata, dalam memerondum tersebut menuntut pejabat Peguam Negara mengakui bahawa Akta Hasutan adalah kuno, bersifat tidak liberal dan tidak demokratik dan kekurangan unsur niat dalam kesalahan ini serta melanggar prinsip asaa keadilan dan kesaksamaan.

Selain itu, dalam memorandum tersebut turut menuntut semua pertuduhan yang sedia ada dikaji semula dan digugurkan dengan serta merta dan Moratorium atau pergantungan ke atas mana-mana pertuduhan hasutan lanjut sementara menunggu kajian penuh Akta Hasutan dan pemansuhannya.