Ahad, 12 Oktober 2014

Tiga sukan Road To Rio mungkin digugurkan

SINAR HARIAN


Khairy Jamaluddin Khairy Jamaluddin
 
 
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan sekurang-kurangnya tiga jenis sukan dalam program Road To Rio mungkin akan digugurkan.
 
Beliau berkata, semua pihak dan persatuan perlu realistik dengan pencapaian atlet masing-masing dan pihak kementerian hanya mahu memberi tumpuan kepada sukan prospek pingat sahaja pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
 
"Program Road To Rio akan dibuat semakan semula berdasarkan pencapaian atlet pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia baru-baru ini, kita kena ingat Sukan Olimpik dua tahun lagi dan bukan semua sukan boleh meraih pingat.
 
"Jadi saya perlu membuat pemilihan dan keutamaan adalah sukan prospek pingat sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyertai Larian Standard Chartered KL Marathon 2014 di Dataran Merdeka hari ini.
 
Katanya, sebelum bermula Sukan Komanwel pada Julai lalu di Scotland dan Sukan Asia bulan lepas di Incheon, Korea Selatan, sebanyak lima sukan disenarai pendek daripada 11 jenis sukan yang terlibat dalam program Road To Rio.

Namun selepas kemerosotan beberapa jenis sukan pada Sukan Asia September lepas, Khairy berkata terdapat dua atau tiga sukan dalam senarai bahaya dan mungkin digugurkan dalam program Road To Rio.
 
Difahamkan sebelum ini 11 jenis sukan yang terlibat dalam Program Road To Rio ialah akuatik, angkat berat, berbasikal, badminton, gimnastik, hoki lelaki, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan sukan layar.
 
"Selepas Sukan Asia ada dua atau tiga sukan (program Road To Rio) dalam senarai bahaya. Ini bermakna saya tidak berapa 'impress' dengan pencapaian mereka. Saya tidak mahu beritahu sukan apa yang akan digugurkan itu lagi.
 
"Saya mahu dengar apa perancangan mereka (persatuan sukan), kalau mereka buat sasaran tetapi tidak berpijak pada bumi yang nyata dan rakyat juga boleh nilai, saya rasa 'maaf anda dikeluarkan daripada program'," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: