Jumaat, 17 Oktober 2014

Tahniah dan terima kasih Tamrin


Oleh MAJDAN DAGANG 


DATUK Mohd Tamrin Tun Abdul Ghafar menghantar surat keluar PAS pada 15 Oktober 2014 setelah menyertai parti ini pada tahun 2012. Seperti selalunya, PAS tidak akan memujuk mana-mana tokoh untuk menyertai partinya dan tidak menghalang jika mana-mana ahlinya atau pemimpinnya yang ingin keluar.

Saya tidak begitu kenal dengan Tamrin dan hanya sekali sempat bersamanya ketika kami sama-sama melakukan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub yang baru dilantik menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Subuh pada hari yang sama kami menaiki satu kereta ke Masjid Pulau Melaka dan selepas berjumpa dengan TG Nik Aziz kami kembali ke hotel. Sambil bersarapan kami berbual-bual kosong dan tidak menyentuh pun soal politik semasa. Usai bersarapan kami melakukan kunjungan hormat ke pejabat menteri besar yang baru.

Dengan Almarhum bapanya, Tun Ghafar saya juga hanya sempat sekali membuat wawancara khas untuk dimuatkan dalam sebuah majalah. Ketika itu Tun tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri. Banyak perkara yang dilontarkan oleh Almarhum Tun Ghafar dan lebih daripada separuh wawancara itu tidak boleh disiarkan kerana banyak perkara “off record”!

Berbalik kepada Tamrin, beliau tidak menyatakan sebab-sebab keluar daripada PAS. Namun tindakannya saya sifatkan lebih baik daripada sesetengah ahli PAS yang lain.

Tamrin keluar daripada Umno apabila berasa parti itu sudah tidak serasi dengan dirinya. Adalah lebih baik dia keluar dan boleh mengkritik Umno secara terbuka sama ada dipentas ceramah mahupun di forum.

Seperti yang dilakukan oleh Tun Mahathir yang pernah keluar Umno ketika zaman Tun Abdullah menjadi PM.

Bukan tidak boleh mengkritik Umno dan pimpinannya ketika masih dalam parti, tetapi mestilah ada adab dan salurannya. Berbeza jika sudah keluar, segala penyelewangan dan salah laku boleh didedah dengan lebih terbuka.

Begitu juga apabila Tamrin berasakan PAS sudah tidak serasi dengan dirinya, maka beliau bertindak keluar PAS.

Tamrin tidak menggunakan forum atau ceramah parti lawan untuk memburuk, menghentam dan mengkritik perjalanan PAS ketika masih ahli parti.

Beliau tidak menubuhkan parti dalam parti untuk memecah-belahkan PAS dari dalam. Tamrin mungkin sudah mengkritik PAS sebelum ini mengikut saluran yang sepatutnya, namun jika sudah tidak serasi, jalan terbaik ialah keluar sahaja.

Bagi saya, beliau keluar Umno demi prinsipnya dan keluar PAS juga demi prinsipnya.

Itu lebih baik daripada menjadi ahli parti yang mengkritik dasar parti, yang masih mengaku ahli tetapi menubuhkan NGO yang kerjanya mengadakan ceramah dan forum mencela parti sendiri kerana enggan mengikuti kehendak parti lain yang dasarnya tidak meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai dasar parti.

Betul, PAS ada kelemahan, sama ada organisasinya mahupun sebahagian pemimpinnya. Tetapi itu bukan tiket untuk meruntuhkannya. Bukan juga tiket supaya tunduk kepada parti lain yang fikrahnya tidak Islam. Ahli partilah yang bertanggungjawab memperkuatkannya, bukan jadi anai-anai yang merosak secara senyap.

Tamrin meninggalkan Umno kerana dikatakan parti itu sudah tidak memperjuangkan nasib orang Melayu. Dia bercerai talak satu dengan Umno dan berkahwin dengan PAS.

Tamrin memasuki PAS tetapi tidak membawa agenda peribadinya seperti sesetengah orang yang memasuki PAS. Ada orang yang diberi peluang jadi ahli dan YB PAS tetapi masih kekal dengan agenda jemaah lama. Wala’ mereka bukan pada PAS tetapi jemaah sebelum ini. Apabila berlaku krisis, baru tahu siapa mereka.

Tamrin masuk PAS tanpa bawa sebakul borang penyokong yang kononnya turut serta. Tamrin masuk dengan membawa dirinya sahaja. Beliau juga tidak masuk dengan membawa jawatan YB atau sebagainya.

PAS pula tidak tawarkan apa-apa jawatan kepadanya. Tetapi Tamrin tetap berceramah di pentas PAS bagi membantu parti itu dapat lebih banyak kerusi dalam pilihan raya.

Walaupun sudah berada dalam PAS, beliau tentunya tidak ikut proses tarbiah macam sesetengah ahli. Jadi tidak peliklah jika tinggalkan PAS, sedangkan orang yang rangka modul tarbiah pun boleh lompat ke parti lain, apalah sangat mereka yang tidak masuk tarbiah.

Ini bukan salah tarbiah, tapi bergantung kepada orang itu sendiri. Zaman nabi pun ada yang solat belakang nabi dan hari-hari mengadap nabi tetapi boleh berpaling tadah.

Perjuangan Islam bukan mudah, segalanya terpaksa dikorbankan – harta, pangkat, jawatan, masa dan tenaga. Ramai yang gugur di tengah jalan akibatnya.

Ramai yang tidak sanggup berkorban kerananya, tetapi sekurang-kurangnya tidak runtuhkan jemaah. Jangan jadi parasit. Jika zaman nabi pun ada parasit, apalah sangat pada zaman ini.

Allah akan bagi kemenangan apabila sampai masanya. Akibat mahu cepat menang, ramai yang terkeluar daripada landasan perjuangan.

Dalam hal ini, tindakan Tamrin lebih terpuji! Dalam politik, kawan bukan selamanya kawan dan musuh bukan selamanya musuh; musuh kepada musuh adalah kawan kita dan kawan kepada musuh kita adalah musuh!

Apapun tahniah dan terima kasih kepada beliau dan selamat maju jaya.

Tiada ulasan: