Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
 
 
 
SHAH ALAM - Selepas PKR mengumumkan pelantikan baharu kepimpinan parti itu hari ini, Pemuda Pas Pusat juga tidak ketinggalan berbuat demikian selaras dengan kehendak dan cabaran semasa.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata usaha itu untuk memantapkan organisasi Pemuda itu dengan melakukan sedikit rombakan secara demokrasi membabitkan beberapa portfolio exco dan ketua jabatannya.

"Rombakan ini merupakan satu penegasan yang telah dikemukakan kepada pewakilan dalam muktamar yang lepas.

"Mesyuarat PPM pada 11 Oktober 2014 merealisasikan tuntutan dan kehendak semasa dengan menyaksikan perubahan kepada beberapa portfolio penting," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Rombakan kecil itu menyaksikan jawatan Setiausaha yang disandang Mohd Nasaie Ismail, kini digantikan oleh Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang sebelum ini merupakan Penolong Setiausaha 3.

Mohd Nasaie pula bertukar portfolio baharu iaitu menjadi Ketua Penerangan merangkap Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media Baru.

Selain itu, bekas Ketua Penerangan pula iaitu Zaharuddin Mohamad diamanahkan jawatan baharu itu sebagai Pengerusi Lajnah Pendidikan.

Manakala kekosongan jawatan Penolong Setiausaha 3 yang ditinggalkan oleh Abang Kerdee pula diisi oleh Mohd Hakim Mohd Nor yang juga Pengarah Akademi Pembangunan Remaja (AKR).

"Mesyuarat juga membuat pelantikan Exco baru, Salman Saleh merangkap Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) bagi menggantikan Zulkarnain Zaki yang ditukar sebagai Timbalan Pengarah Mobilisasi.

"Hasbie Muda pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Politik manakala penyandangnya Mohd Fadli Ghani diberi tugas sebagai Pengerusi Lajnah Tugas-Tugas Khas," katanya lagi.