Selasa, 21 Oktober 2014

S'gor jaga kebajikan mangsa tanah runtuh - Iskandar

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Penduduk yang kediaman mereka terancam akibat kejadian tanah runtuh di Apartment Teratai, Bukit Beruntung diharap dapat bersabar kerana pemindahan mereka ke pusat penempatan sementara adalah untuk keselamatan mereka sendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Iskandar Abdul Samad berkata, penduduk yang terlibat dinasihatkan supaya tidak pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu.

Namun sekiranya mereka ingin pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang, mereka hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.

"Pihak Kerajaan Negeri memastikan kebajikan penduduk yang terlibat dengan menyediakan makanan dan selimut.

"Bagi penduduk seperti warga emas, pesakit dan kanak-kanak yang mempunyai keperluan-keperluan khas, mereka hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Seramai lebih 500 penduduk di Apartment Teratai telah dipindahkan ke tiga pusat penempatan sementara iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung.

Ianya ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku boleh mengancam apartment terbabit khususnya blok K dan L.

Difahamkan, pergerakan tanah juga telah berlaku sebanyak dua kali pada awal pagi ini dan dibimbangi jika ianya berterusan akan memberi kesan kepada blok-blok terdekat.

Menurut Iskandar, kejadian ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa tempatan dan tanggungjawab ini telah diserahkan kepada pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Pihak Kerajaan Negeri juga sedang memastikan rumah penduduk yang terlibat betul-betul selamat sebelum mereka boleh pulang ke rumah masing-masing kelak," katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: