Selasa, 14 Oktober 2014

Permata: Bimbang wujudnya sistem pendidikan dua darjat

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Peruntukan besar yang sering diberikan untuk program Permata Negara berbanding sekolah-sekolah kebanyakan dibimbangi wujudnya sistem pendidikan dua darjat.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof berkata, peruntukan yang diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat di dalam Bajet 2015 sebanyak RM50 juta dan Sekolah Pondok RM25 juta.

"Apakah ini adil? Apakah asasnya kerajaan mengagihkan dana ini. Apakah ikut keperluan pelajar atau perkapita pelajar?

"Sedangkan Sekolah Agama Rakyat mempunyai lebih 2,000 buah sekolah di seluruh negara," katanya ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, petang semalam.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan berapa ramai jumlah pelajar yang terlibat di dalam program Permata dan berapa peruntukan diberikam bagi setiap pelajarnya.

"Kita paling bimbang duit Permata adalah daripada cukai yang dibayar rakyat, dengan peruntukan begitu besar disalurkan kepada Permata," katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak menggunakan dana itu untuk memperkasakan institusi pendidikan yang ada.

"Ada sekolah yang tidak ada tandas,  tidak ada elektrik. Kenapa perlu ada pihak yang bermewah-mewah dengan dana rakyat?" soalnya.

Di dalam Bajet 2015, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM711 juta kepada Permata yang dinaungi  isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan bagi mengukuthkan pendidikan awal kanak-kanak.

Permata Negara yang dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai 82 buah pusat di seluruh negara manakala seramai 1,780 kanak-kanak yang yang  menghadiri di  pusat-pusat berkenaan seluruh negara. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: