Rabu, 8 Oktober 2014

PUM bantah kehadiran Ulil Absar Abdalla

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) membantah keras kehadiran tokoh Islam Liberal dari Indonesia, Ulil Absar Abdalla sebagai 'tetamu utama' diskusi meja bulat: Tantangan Fundementalisma Agama Abad Ini yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front dan Global Movement of Moderates Foundation pada 18 Oktober ini.

Setiausaha Agung PUM, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata Ulil terlalu banyak mempersoalkan nas-nas agama yang bersifat qat'i dan dengan sendirinya merendah-rendahkan hal ehwal agama Islam.

"Perkara ini sinonim dengan organisasi beliau iaitu Jaringan Islam Liberal (JIL) di mana fahaman ini telah diharamkan di Indonesia dan juga negara kita Malaysia," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, kehadiran Ulil sebagai tetamu utama adalah sangat tidak sesuai bahkan kelihatan mencabar autoriti agama Islam di negara ini.

Justeru, tegasnya PUM meminta supaya Jakim dan pihak berautoriti supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya agar idea-idea Islam Liberal yang telah diharamkan di Malaysia tidak dikembangkan secara halus. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: