Selasa, 14 Oktober 2014

Projek baru tawar peluang pekerjaan di Kelantan

ASLANI M 


KOTA BHARU: Ribuan peluang pekerjaan menanti rakyat Kelantan apabila kilang simen dan kilang besi beroperasi di Gua Musang tidak lama lagi.

Kilang simen pada tiga tahun pertama beroperasi akan mengeluarkan simen sebanyak 2,000 metrik tan sehari dan selepas tiga tahun pengeluaran bertambah kepada 10,000 metrik tan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kedua-dua kilang tersebut menawarkan ribuan pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

“Kilang besi yang membabitkan pelaburan antara RM350 juta hingga RM900 juta akan menyediakan sehingga 2,000 peluang pekerjaan.

“Kilang simen akan memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri sebanyak RM2.5 juta setahun dalam tempoh tiga tahun pertama beroperasi dan selepas itu meningkat kepada RM5 juta,” katanya menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) pada persidangan Dun hari ini.

Kilang simen membabitkan pelaburan RM1.2 bilion pula akan menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan.

Selain itu kata beliau lebih 20,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui pembangunan bandar baru di Tunjung yang melibatkan 12 pelabur bernilai RM4.39 bilion.

Manakala projek dijalankan SensaTimur pula melibatkan pelaburan RM800 juta akan menyediakan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri akan meningkatkan punca hasil melalui perlombongan emas di Kampung Pulai Gua Musang.

Katanya, perlombongan tersebut yang dijalankan dalam tempoh Ogos 2011 sehingga 2013 telah menghasilkan emas yang bernilai RM29 juta.

“Dalam tempoh itu kerajaan negeri melalui PKINK mendapat bayaran tribute sebanyak RM2.2 juta dan royalti kepada Pejabat Tanah dan Galian pula sebanyak RM1.4 juta,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan melalui projek mini hidro yang dilulus di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Manakala projek lain yang dirancang termasuk projek Bandar baru dan komersial di Lubuk Jong, Pasir Mas, Kota Seribong dan Jalan Raja Dewa di Kota Bharu yang akan menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan.

Sementara itu Datuk Mustafa Mohamed (BN-Air Lanas)ketika mengajukan soalan tambahan memberitahu kerajaan pusat menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi membina enam pejabat kerajaan di Bandar baru Tunjung.

Menjawab soalan Adun terbabit Menteri Besar berkata, kerajaan negeri turut merakam ucapan terima kasih kepada Adun Air Lanas yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa da Industri membawa pelabur dari Korea melabur di Kelantan.

Bagaimanapun beliau berharap menteri terbabit berusaha untuk memastikan kerajaan pusat mewujudkan iklim pelaburan sempurna di Kelantan dengan menyediakan lebih banyak kemudahan asas.

“Lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan pelabuhan cukup penting bagi menarik lebih ramai pelabur datang.

“Kerajaan negeri menjalin kerjasama erat dengan kerajaan pusat berasas peruntukan Perkara 9 Perlembagaan Negara,” ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: