Ahmad Fadhli Shaari Ahmad Fadhli Shaari
 
 
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan akan mempergiatkan lagi usaha untuk meraih sokongan anak muda bagi persediaan PRU14 akan datang walaupun berdepan kekalahan semasa PRK Pengkalan Kubor, baru-baru ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ada beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti dan pihaknya juga akan mengadakan satu ‘post-mortem’ untuk membaiki kembali kelemahan-kelemahan yang ada.

“Kita menyedari banyak faktor kekalahan baru-baru ini, terutamanya ialah kita berhadapan dengan jentera kerajaan pusat, sekali gus memperlihatkan sokongan terutamanya daripada golongan muda semakin menurun.

“Insya-ALLAH melalui ‘post-mortem’ itu, banyak perkara kita akan baiki nanti, kita secara terbukanya menerima teguran, selepas ini kita akan pergiatkan lagi usaha untuk menambah penyokong muda di seluruh Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian selepas ceramah sesi pertama Kuliah Mingguan Medan Ilmu semalam.

Beliau turut diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek yang didakwa berkata rakyat sepatutnya bersyukur dengan tindakan kerajaan dan bukannya mengadakan bantahan ke atas kenaikan harga bahan api yang diumumkan kerajaan.

Ahmad Fadhli mendakwa, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan seorang pemimpin kerana ia mencerminkan sikap pemimpin yang tidak menyelami hasrat hati rakyat.

Beliau berkata, walaupun kenaikan tersebut hanya RM0.20 sen sahaja, namun ia tetap akan memberi kesan kepada rakyat apabila terpaksa berhadapan dengan kenaikan barangan keperluan lain juga selepas itu.

“Apa yang menjadi masalahnya ialah ia berlaku di saat minyak dunia mengalami penurunan yang agak banyak, dan ketara. Kebiasaannya harga minyak naik apabila pasaran minyak dunia pun naik.
“Bagi saya, ia merupakan satu tindakan yang tidak wajar, dan satu tindakan yang membebankan rakyat tambahan pula dengan GST dan sebagainya,” katanya.

Ahmad berkata, kerajaan perlu bertindak selaras dengan kemampuan rakyat dan hakikatnya, bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang nampak popular tetapi mengakibatkan kenaikan harga minyak juga wajib dipertimbangkan semula.