Selasa, 7 Oktober 2014

PAS sokong himpunan bantah naik harga minyak esok

MUHAMMAD FAIZAL


KOTA BHARU: ‎PAS menyokong penuh himpunan aman yang akan diadakan pada 8 Oktober ini di hadapan pintu masuk Parlimen bagi bantahan terhadap kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi memberitahu‎ PAS juga bersedia menerima dan membantu menyerahkan memorandum kepada kerajaan.

"Kita konsisten dalam isu membabitkan masalah rakyat, ini menunjukkan komitmen kita untuk terus bersama-sama memastikan kebajikan rakyat terus dibela.

"Sebagai Ketua Whip, saya bersama-sama Ahli Parlimen PAS yang lain bersedia menanti kehadiran rakyat yang akan berhimpun nanti," jelasnya.

Menurut beliau, himpunan merupakan satu saluran yang baik menyuarakan suara mereka jika dasar kerajaan itu dilihat menekan hidup rakyat.

"Apabila kerajaan enggan mendengar masalah rakyat, himpunan aman merupakan satu proses terbaik.

"Kerajaan tidak boleh menghalang kerana itu adalah hak mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka," sambung beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut menyeru agar ahli-ahli parlimen PAS dan Pakatan Rakyat hadir bersama-sama sebagai sokongan terhadap membantah kenaikan harga minyak yang menekan hidup rakyat.‎

Tambah beliau lagi, isu kenaikan harga minyak secara mengejut itu akan dijadikan isu utama pada sesi perbahasan di parlimen sesi kali ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: