Jumaat, 10 Oktober 2014

Nafi peluang ke universiti tempatan, kerajaan gadai masa depan pelajar

_UFI6432

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengecam sikap Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan yang tidak mahu menjawab soalan berhubung kes pelajar cemerlang yang dinafikan tempat di universiti tempatan.

Ahli Parlimen DAP Beruas Ngeh Khoo Ham berkata, tindakan Kamalanathan itu bukan saja tidak wajar, malah membuktikan bahawa beliau tidak layak bergelar menteri.

“Kamalanathan berkata bahawa pengambilan ke universiti adalah berdasarkan meritokrasi tanpa mengira bangsa, agama atau jantina. Dia langsung tidak mengambil kira keadaan sebenar yang berlaku.

“Jika benar pengambilan pelajar adalah pada 60 hingga 70 peratus seperti yang disebut, mengapa ramai pelajar dengan CGPA 4.0 tidak termasuk dalam peratusan itu?

“Bila ditanya mengapa terdapat senarai panjang kes pelajar cemerlang tidak mendapat tempat, dia menganggapnya sebagai tidak benar dan enggan memberi penjelasan.

“Kelakuan sebegini menggambarkan seolah-olah dia sendiri tidak berpendidikan,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, dalam sidang Dewan Rakyat, Kamalanathan memberi maklum balas kepada soalan ahli parlimen PKR Bayan Baru Sim Tze Sin mengenai bilangan pelajar yang memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam.

Bagaimanapun, apabila Sim bertanya soalan tambahan mengenai bilangan ramai pelajar cemerlang yang tidak mendapat kursus seperti yang dipilih, Kamalanathan sekadar menjawab ‘tidak benar’.

Dalam sidang media sama, Sim menyatakan beliau terkejut dengan sikap menteri BN itu.

Sim berkata, beliau telah menerima 254 aduan mengenai masalah pengambilan pelajar semenjak bulan Ogos.

Daripada jumlah itu, 54 pelajar cemerlang tidak mendapat kursus pilihan mereka dan 52 lagi tidak mendapat tempat.

Beliau memberitahu, seorang pelajar yang mengadu mendapat CGPA 3.96 dan 10A dalam SPM tapi tidak mendapat tempat di semua pusat pengajian tempatan.

“Ini amat mengejutkan, bagaimana kejadian boleh berlaku saban tahun tanpa sebarang alasan munasabah.

“Masalah begini bukan saja dihadapi oleh bukan Bumiputera, tapi kepada seluruh rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Tak jadi masalah kalau dia tidak mahu menjawab soalan saya, tapi dia berhutang kepada ramai pelajar di luar sana yang kecewa,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: