Isnin, 6 Oktober 2014

Masjid Negeri tidak sekadar berdakwah, laksana program tingkat penghayatan

Oleh AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Mimbar Aidiladha hari ini menyentuh soal tanggungjawab menangani gejala sosial yang semakin meruncing.

Dalam khutbah Aidiladha bertajuk ‘Pengahayatan Aidiladha’ yang disampaikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menyentuh sikap masyarakat yang menjauhi syariat Islam disebalik kemewahan dan kesenangan yang dikecapi.

Mengulas khutbah hari ini, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang baru, Ustaz Farhan Wijaya berkata masjid mengambil peranan melalui beberapa program sempena cuti sekolah bagi menerapkan penghayatan masyarakat kepada nilai-nilai keagamaan.

Ustaz Farhan“Masjid mengambil peranan mengenai gejala sosial dan kita menyediakan pelbagai persiapan-persiapan sempena cuti sekolah bagi menangani bersama gejala sosial yang berlaku.

“Kita mengingatkan kepada masyarakat supaya gejala sosial ini dapat di atasi bersama dan masjid mengambil peranan yang besar khususnya di Shah Alam bagi meningkatkan akhlak remaja malah kesemua akhlak umat Islam supaya bersama-sama menghayati sejarah Akhlak Nabi Muhamad SAW,” katanya kepada Selangor Kini.

Menceritakan pengalaman pertama melihat majlis ibadah korban yang dilakukan di Masjid Negeri beliau melahirkan kegembiraan dengan perjalanan program yang berlangsung baik seperti yang dirancangkan.

“Alhamdulillah hari ini majlis berjalan lancar seperti yang dirancangkan dengan baik. Kita nampak (majlis) kali ini lebih teratur malahan ia telah berlaku setiap tahun.

“Alhamdulillah peningkatan peserta dan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan majlis ibadah korban untuk tahun ini,” katanya lagi.

Sebagai saranan sempena Aidiladha beliau berkata orang Islam perlu berkorban kerana Allah SWT.
“Hari raya korban bukan bererti korban binatang semata-mata tetapi mengorbankan jiwa raga kita, penat lelah, masa, duit kepada Allah dan korbankan juga nafsu kita supaya perpaduan di Selangor ini terjalin lebih baik,” tambahnya lagi.

Ustaz Farhan Wijaya menerima surat lapor diri untuk bertugas di Masjid Negeri pada 1 Oktober lalu menggantikan Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 10 Jun lalu.HM

Tiada ulasan: