Isnin, 13 Oktober 2014

LUAS giat kesan punca tumpahan hidrokarbon Sungai Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI


SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang giat melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar insiden tumpahan hidrokarbon di muka sauk Sungai Selangor, baru-baru ini.

Pengarah LUAS, Md Khairi Selamat berkata, siasatan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air (JKPSA) yang dijalankan sehingga awal pagi ini belum menemui punca pencemaran.

“Sampel sudah diambil SPLASH (Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd) untuk dianalisa bagi mengenalpasti kandungan kesan minyak itu.

empangan  air lembah kelang“Ujian bau dan analisa minyak secara insitu juga turut dijalankan di setiap jam sehingga kini. Punca kejadian dikenalpasti dan tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Selangor Kini.

Pada 11 Oktober lalu, loji pembersihan air (LPA) Sungai Selangor Fasa I, II, dan III terjejas dan LPA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas menyedari terdapat tumpahan hidrokarbon.

Akibat pencemaran air yang berlaku, 60 peratus pengguna di kawasan Lembah Klang terjejas.

Mengulas lanjut, Md Khairi berkata, operasi kesemua LPA terbabit mengambil sedikit masa untuk pulih sebelum ia kembali beroperasi seperti biasa.

“Perkara ini akan dimaklumkan Syarikat Bekalan Air Negeri Selangor (SYABAS) dari semasa ke semasa.

“Diharapkan orang ramai dan semua pihak untuk memastikan setiap aktiviti yang dijalankan tidak mencemarkan sumber air bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan air kepada pengguna,” jelasnya.

PC isu air dicemari diesel-MB (3)Sebelum ini, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali juga menolak untuk membuat sebarang spekulasi bahawa insiden pencemaran itu mempunyai kaitan dengan unsur sabotaj daripada pihak tidak bertanggungjawab sehingga siasatan LUAS selesai sepenuhnya.

Namun, katanya, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit seperti yang dilakukan ketika kejadian pencemaran di Sungai Gong, pada tahun lalu.

“Sesiapa yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan tindakan Kerajaan Negeri termasuk merampas tanah mereka yang kita lakukan sebelum ini,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: