Khazali Ahmad Khazali Ahmad
 
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak pernah sengaja atau bertindak melewatkan urusan pembayaran saguhati atau 'reward' kepada Ampoma.

Ampoma (Informer) ialah pemberi maklumat mengenai penyelewengan, penyeludupan dan segala aktiviti yang menyalahi undang-undang yang ditadbir oleh Kastam.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pembayaran saguhati kepada Ampoma merupakan penghargaan kepada mereka yang bekerjasama dengan JKDM dalam menjaga hasil negara.

Beliau berkata pembayaran saguhati akan diberikan dengan segera mengikut peraturan-peraturan kewangan yang ditetapkan.

"Sebarang kelewatan yang didakwa berlaku, (mungkin) disebabkan oleh beberapa perkara yang perlu diselesaikan berdasarkan prinsip pembayaran saguhati.

"Antaranya apabila berlaku pertikaian tentang amaun saguhati yang dituntut oleh Ampoma berbanding amaun yang dibenarkan oleh peraturan semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas mengenai isu kelewatan pembayaran kepada pemberi maklumatnya seperti yang dibangkitkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Sementara itu, berkenaan isu pemansuhan saguhati kepada pegawai Kastam, Khazali berkata, mulai 29 April lalu, kerajaan telah memutuskan pemberian saguhati atau 'reward' kepada pegawai JKDM dimansuhkan.

Katanya, sebagai ganti kerajaan telah meluluskan satu dana yang dinamakan 'Peruntukan Rahsia Pencegahan' atau PRP bagi membiayai perbelanjaan pegawai JKDM yang melaksanakan tugas risikan, siasatan atau penguatkuasaan undang-undang dalam mencegah penyeludupan.

"Walau bagaimanapun pegawai-pegawai perlulah membuat permohonan untuk menuntut wang PRP ini bagi tugas tersebut," katanya. - Bernama