Rabu, 8 Oktober 2014

Hasutan: Pasukan peguam ditekan dalam kes Anwar

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR -  Tuduhan Hasutan ke atas peguam N Surendran merupakan satu tekanan kepada pasukan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah 2.

fitnah2


Barisan Peguam Anwar berkata, sebarang gangguan dalam kes itu akan menafikan hak Anwar untuk mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini.

“Gangguan atau ugutan terhadap peguam adalah serupa dengan menafikan secara serius hak Anwar Ibrahim untuk mendapat perbicaraan yang adil,”

“Tuduhan ini adalah satu bentuk tekanan kepada keseluruhan pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar kenyataan bersama Gobind Singh Deo, Sangeet Deo, Sivarasa Rasiah, Eric Paulsen dan Latheefa Koya.

Pada 19 Ogos lalu, Surendran didakwa kerana menerbitkan artikel yang merujuk penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes Fitnah 2.

Beliau sekali lagi didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut apabila mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan kes itu yang disiarkan dalam laman sosial YouTube.

Peguam Anwar berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini apabila peguam dikenakan tuduhan menghasut kerana mengulangi hujah pembelaan untuk anak guamnya.

Justeru itu, mereka mendesak supaya tuduhan hasutan terhadap Surendren digugurkan segera.
“Kami mesti dibenarkan untuk bersedia dan berhujah bagi rayuan itu tanpa sebarang tekanan yang tidak wajar.

“Apa-apa kekurangan ini akan memberi kesan yang sangat serius terhadap rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga boleh menyebabkan keseluruhan prosiding tercemar,”  tegasnya.

Tiada ulasan: