KUALA LUMPUR: Harga petrol RON95 mungkin kekal pada kadar RM2.30
seliter sehingga Jun tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk
Ahmad Maslan.
Beliau berkata, rasionalisasi subsidi petrol mungkin tidak akan dibuat
sehingga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK) melaksanakan sistem pengkhususan pemberian subsidi petrol
kepada golongan sasaran pada Jun 2015.
"Perincian bagi sistem ini masih lagi di peringkat kajian. Setakat ini,
apa yang diberitahu kepada saya ialah sistem yang bakal dilaksanakan
ini akan dimuatkan dalam MyKad," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2014, di sini hari ini.
Ahmad berkata, sistem itu akan turut dilaksanakan ke atas pengguna
diesel pada Januari depan, seperti pengumuman yang dibuat oleh Ketua
Setiausaha KPDNKK baru-baru ini.
"Bagi subsidi diesel, saya difahamkan setakat ini sistem tersebut bakal
dimuatkan dalam kad 'fleet' para pengguna," katanya, sambil menambah
bahawa cadangan ini mungkin akan berubah disebabkan jangka masa yang
masih panjang.
Ahmad berkata, KPDNKK telah membuka Permohonan Cadangan (RFP) untuk
pelaksanaan sistem subsidi petrol yang menilai dari segi pendapatan
individu dan hak milik kenderaan berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kewangan telah membuat
permohonan bertulis kepada KPDNKK untuk menukar terma 'caj perkhidmatan'
yang dikenakan oleh sesetengah restoran dan hotel, kepada 'caj
restoran' atau "caj hotel'.
Beliau berkata, langkah ini wajar dalam memastikan rakyat tidak
terkeliru dengan terma berkenaan dan menyangka bahawa kadar 10 peratus
yang dikenakan ke atas bayaran itu diambil oleh kerajaan.
"Caj perkhidmatan diambil oleh restoran dan hotel. Ia bukan cukai perkhidmatan yang dikenakan oleh kerajaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan