Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
 
 
KUALA LUMPUR - Aktivis badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini berharap kerajaan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Mesir berhubung tindakan negara itu menyenarai hitam Malaysia daripada memasuki Gaza menerusi pintu Rafah untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Pengerusi Yayasan Nassar, sebuah badan kebajikan, Nasaruddin Mat Isa berkata, perbincangan itu perlu untuk membenarkan semula Malaysia memasuki Gaza menerusi Rafah di Mesir untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Katanya dakwaan Mesir kononnya Malaysia membantu melatih tentera Al-Qassam adalah tidak berasas dan tanpa memberikan sebarang bukti.

"Selama ini, Malaysia menghulurkan bantuan bekalan perubatan dan makanan atas dasar kemanusiaan dan bukannya menerusi platform politik.

"Saya melihat Malaysia dijadikan kambing hitam (mangsa keadaan) kerana pemerintahan Mesir sekarang mungkin sedang cuba mengambil hati pihak Israel untuk kepentingan diri mereka sendiri (pihak kerajaan Mesir)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Abdul Aziz Abu Bakar bahawa Malaysia antara enam negara disenarai hitam oleh Mesir daraipada memasuki Gaza menerusi Rafah.

Lima lagi negara ialah Turki, Qatar, Iran, Maghribi dan Sudan, katanya.

Abdul Aziz berkata, mengatakan sokongan diberikan Malaysia kepada penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis telah disalah anggap sebagai membantu keganasan.

Sehubungan itu, Nasaruddin yang juga bekas timbalan presiden Pas berkata, kerajaan Malaysia harus mengeluarkan kenyataan untuk membalas dakwaan yang tidak berasas itu. - Bernama