Isnin, 13 Oktober 2014

Bertambah jumlah BR1M, bertambah jugalah kemarahan Mahathir



Oleh Shahbudin Husin


Satu-satunya aspek yang masih menjadi bualan masyarakat mengenai Bajet 2015 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib di Parlimen, 10 Oktober lalu ialah bertambahnya jumlah BR1M yang diterima mulai tahun hadapan.

Melalui bajet kali ini, jumlah BR1M bagi yang berpendapatan di bawah RM3 ribu sebulan dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 manakala yang berpendapatan antara RM3 ribu hingga RM4 ribu pula dinaikkan daripada RM450 kepada RM750. BR1M bagi orang bujang pula ditambah daripada RM300 menjadi RM350.

Kecuali bagi orang bujang, bayaran BR1M kali ini dlakukan secara ansuran tiga kali setahun iaitu pada bulan Januari, Mei dan September.

Bagi pelbagai pengumuman lain, sama ada pembinaan lebuhraya baru, MRT dari Selayang ke Putrajaya, LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Shah Alam, insentif cukai, galakan pemilikan harta, pembinaan jalan baru di Sabah dan Sarawak, bonus setengah bulan gaji dan sebagainya, bukan saja sudah dilupakan, malah tidak pun diperbualkan lagi.

Semua orang apabila bercakap mengenai Bajet 2015, hanyalah mengulas mengenai BR1M saja. Tarikan tunai BR1M telah menenggelamkan semua yang lain.

Daripada satu segi, memanglah pemberian tunai ini menggembirakan mereka yang menerimanya tetapi dari segi tanggungjawab kerajaan, apakah ianya mampu menyelesaikan masalah beban kos kehidupan rakyat? Melalui kenaikan petrol dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru yang seterusnya menyebabkan berlakunya rantaian peningkatan banyak barangan dan perkhidmatan yang lain, menambah jumlah BR1M amat diragui keberkesanannya.

Apakah lebih lebih baik memberi rakya wang tunai berbanding penyediaan harga barang keperluan  serta perkhidmatan yang lebih terkawal? Apakah dengan menambah jumlah tunai melalui BR1M ini, bermakna akan berlaku lagi pemotongan subsidi minyak, gula, tepung dan sebagainya selepas ini?

Jika tidak memotong subsidi pula, bagaimanakah kerajaan mahu mendapatkan wang untuk membayang BR1M ini? Jika BR1M sebanyak RM650 pada tahun lalu saja, kerajaan dilaporkan memerlukan kira-kira RM4 billion, dengan pertambahan kadarnya mulai tahun depan, tentulah lebih banyak wang diperlukan lagi.

Jika tidak melalui pemotongan subsidi rakyat bagi membayar BR1M, apakah kerajaan akan menambah hutang lagi sedangkan kadarnya sekarang sudah pun melepasi had 55 peratus daripada KDNK negara?

Congak sana, congak sini, tolak campur, bahagi darab - tidak dapat dinafikan,  bertambahnya jumlah BR1M yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib ini bukan saja diragui mampu menyelesaikan beban hidup rakyat, bahkan menjadikan kewangan negara makin tenat.

Di sisi yang lain, langkah pemberian tunai ini juga menjadikan rakyat lebih manja, malas dan kurang berdaya saing. Ia hanyalah langkah populis yang menjadikan kerbergantungan rakyat kepada kerajaan dan parti yang memerintah terus wujud. Dengan rakyat terpaksa mengadap kerajaan tiga sekali setahun untuk menerima BR1M ini, sandaran rakyat kepada "sedekah" itu akan menjadi lebih parah lagi.

Sebab itu, tidak menghairankan pemberian BR1M ini paling ditentang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Sudah acapkali beliau menyebut pemberian tunai kepada rakyat tidak praktikal, tidak menyumbang kebaikan kepada negara, malah ramai juga yang tidak berterima kasih pun dengannya.

Ramai yang menganggap wang BR1M itu adalah wang rakyat yang bermaksud wang mereka juga. Ia bukannya wang daripada poket pemimpin atau daripada tabung parti yang memerintah tetapi wang yang terkumpul dalam perbendaharaan negara.

Dalam dua tulisan terkini di blognya mengenai penarikan balik sokongannya kepada Datuk Seri Najib, Tun Mahathir mengulangi lagi menyebut mengenai pemberian tunai BR1M ini. Jelas bahawa beliau memang tidak berkenan dengan kaedah BR1M ini yang lebih banyak keburukan daripada kebaikannya kepada rakyat dan juga negara.

Dengan meneruskan BR1M, malah menambah lagi jumlahnya, adalah jelas bahawa Datuk Seri Najib tidak peduli lagi dengan Tun Mahathir dan kelihatan tidak bimbang langsung dengan tiadanya lagi sokongan daripada bekas Perdana Menteri itu. Sejarah bagaimana beberapa pemimpin tergolek sebelum ini oleh tindakan Tun Mahathir dengan mangsa terakhirnya ialah Tun Abdullah Badawi, nampaknya tidak menggusarkan Datuk Seri Najib untuk berbuat sesuatu yang tidak menggembirakan bekas Perdana Menteri itu.

Sebagaimana ramai yang terus bercakap mengenai BR1M dalam Bajet 2015 ini, reaksi Tun Mahathir juga tentunya ditunggu-tunggu tetapi kebanyakannya percaya dengan makin bertambah jumlah pemberian tunai yang akan terus membebankan kewangan negara ini,  maka makin bertambah jugalah kemarahan beliau kepada Datuk Seri Najib.

Tidak mustahil, Tun Mahathir akan menjadi bertambah agresif  selepas ini. detik daily

Tiada ulasan: