Selasa, 14 Oktober 2014

Belanjawan 2015: Wanita dilupakan, peruntukan rendah berbanding Jabatan Perdana Menteri

teo nie ching

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan belanjawan 2015 Jumaat lalu bahawa wanita adalah istimewa dan kerajaan mengiktiraf peranan golongan itu dalam pembangunan nasional dan mendidik generasi akan datang, hanyalah omong kosong.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, peruntukan kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KWKPM) meningkat hanya sebanyak 3.7 peratus, iaitu dari RM 2.2 bilion pada 2014 kepada RM2.26 bilion )2015).

“Kenaikan peruntukan di bawah purata (lebih rendah daripada kenaikan keseluruhan) dengan sendirinya membuktikan wanita dipinggirkan,” kata Nie Ching dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Nie Ching, peruntukan kepada (KWKPM) lebih rendah berbanding kepada Jabatan Perdana Menteri yang menerima RM19.06 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 15.9 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM16.45 bilion).

“Kita jangan lupa bahawa sebahagian besar peruntukan kepada KWKPM adalah untuk kebajikan sosial dan bukannya khusus untuk wanita,” katanya lagi.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu turut membidas pemotongan sebanyak 60 peratus kepada Institut Pemberdayaan Wanita NAM (NAM Institute for The Empowerment of Women, NIEW) daripada RM.4 juta kepada 3.2 juta.

“Sementara saya mengalu-alukan usaha kerajaan seperti program Young Professional Women Entrepreneurs Development dan program Women Career Comeback, golongan wanita bukan profesional telah dilupakan,” katanya lagi.

Cuti jaga anak dihadkan

Dalam pada itu kata Nie Ching bukan sekadar peruntukan belanjawan, hak wanita untuk mendapatkan cuti bagi penjagaan anak (child care leave) turut dikurangkan.

Bermula tahun hadapan, kemudahan cuti tanpa gaji kakitangan awam wanita bagi penjagaan anak dihadkan hanya kepada usia setahun, berbanding sehingga anak berusia lima tahun bagi kebenaran sama semenjak 2007.

“Ini bermakna tiada lagi pilihan bagi penjawat awam wanita untuk memohon cuti menjaga anak lebih daripada setahun. Selain itu, kenapa perlu ada had umur? Pilihan sepatutnya diberikan kepada ibu,” kata Nie Ching. – Roketkini.com

Tiada ulasan: