Isnin, 13 Oktober 2014

1MDB: Apabila labur jadi lebur


Oleh SHIRZAD LIFEBOAT 


APABILA Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan buka mulut bertemberang tentang pelaburan, dia melakukan demikian seolah-olah dialah raja segala raja dalam soal dan selok belok pelaburan.

Jika Najib Razak hidup pada abad ke-17, mungkin dialah yang dicari oleh para ahli kimia zaman itu kerana dikatakan memiliki kebolehan luar biasa menukarkan logam asas sehingga menjadi ‘emas’

. Dan sekiranya beliau wujud di zaman Greek purba, Aristotle mungkin mengumumkan ‘sentuhan Midas’ (sentuhan yang boleh menukarkan apa sahaja menjadi emas) sebenarnya bukanlah satu mitos kerana Najib sesungguhnya memiliki kehandalan melakukannya.

Malangnya, cakap-cakap Najib mengenai pelaburan ‘tak boleh pakai’. Bukan sahaja Najib tidak tahu langsung tentang pelaburan tetapi tidak faham dan dan seterusnya gagal menguruskan aliran wang tunai negara.

Tak tahu daripada mana dia belajar ilmu pelaburan. Mungkin daripada Dr Mahathir Mohamad.
Di zamannya menjadi PM, Dr Mahathir membuang RM100 bilion ke dalam longkang atas nama pelaburan (lihat buku ‘Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad In Turbulent Times’ oleh Barry Wain). Dan bagi Dr Mahathir kesilapan tersebut tidak mengapa.

Justeru tidak ada gunanya Mahathir mengkritik pentadbiran Najib. Seperti peribahasa yang kerap disebut oleh seorang penulis politik veteran dalam bukubukunya, ‘jangan marah jika anak murid kencing berlari disebabkan guru kencing berdiri’. Begitulah gambaran yang dapat disimpulkan mengenai dua pemimpin Umno- BN ini.

Pada 2009, setelah bernasib baik dilantik Perdana Menteri (menurut sistem salah-silah yang dipakai Umno) serta dalam keghairahan mencipta itu 1Malaysia ini 1Malaysia, Najib telah mewujudkan sebuah, kononnya, syarikat pelaburan induk yang dinamakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Secara mudah, sekiranya geran sejumlah RM5 bilion yang disuntik ke dalam 1MDB dilaburkan dalam deposit semalaman pun dan pada kadar faedah KLIBOR (Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur) semasa melebih 3.0 peratus setahun, jumlah pulangan pelaburan terkumpul sehingga kini sudah tentu melebihi puluhan juta ringgit.

Namun Najib selaku Pengerusi 1MDB dengan kapakaran tiada tolok bandingnya mempunyai idea berbeza tentang apa yang harus dilabur oleh syarikat tersebut. Akhirnya kini syarikat pelaburan berkenaan mencatatkan hutang sebanyak RM38 bilion setakat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013.

Sebenarnya banyak kisah menarik pelaburan besar-besaran dengan menggunakan dana awam dilakukan menerusi pelaburan ala- Najib Tun Razak. Misalnya media pernah melaporkan kenyataan juruaudit luar 1MDB mengenai bagaimana wang sejumlah AS$1.8 bilion ( RM4.9 bilion) sepatutnya digunakan bagi pembangunan Tun Razak Exchange telah diletakkan ke dalam institusi pelaburan luar negara. Begitu juga kisah dana sejumlah AS$2.3 bilion yang diletakkan dalam sebuah syarikat portfolio pelaburan berdaftar di Kepulauan Cayman.

Selain daripada cerita tersebut, terdapat juga cerita 1MDB menawarkan sokongan kewangan kepada seorang peniaga (terkenal kerana mengadakan majlis untuk aktres kontroversi Paris Hilton) pada nilai sehingga 1 bilion pound sterling bagi membolehkan beliau membida sekumpulan hotel di London, England.

Itu belum lagi kisah dan persoalan bagaimana Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, antara individu terlibat dalam pembelian kapal selam Scorpene selaku pengarah syarikat Perimekar (sehingga 2010) di mana syarikat tersebut pernah disiasat oleh pihak berkuasa Perancis kerana urus niaga membabitkan komisyen yang mana menyalahi undang-undang negara tersebut, boleh dilantik oleh Najib selaku Pengerusi Lembaga Govenor syarikat yang teramanah untuk menguruskan dana awam yang telah dilaburkan.

Justeru, Najib dan Lodin tak bolehlah marah-marah sekiranya pemantau rasuah Centre to Combat Corruption and Cronyism menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Awam agar memanggil mereka untuk menjelaskan ‘apa dah jadi’ sehinggakan ‘labur menjadi lebur’.

Dan bagi Dr Mahathir, tak perlulah nak tunjuk keprihatinan dengan mengkritik Najib. Ia hanya mengundang kepada pemakaian peribahasa ‘kata dulang paku serpih’. Dalam bahasa pasar, Mahathir, Najib, dua kali lima.

Tiada ulasan: