Jumaat, 5 September 2014

VEP wajar mula pada kadar minimum

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat mencadangkan agar kerajaan menetapkan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan Singapura memasuki negara ini pada kadar minimum terlebih dahulu.

Beliau pada Wacana ke-30 Sinar Harian 'VEP: Apa Tunggu Lagi?' berpendapat penetapan kadar minimum ini adalah bertujuan untuk mengetahui terlebih dahulu hasil pelaksanaan tersebut.

"Kita khuatiri tindakan meninggikan caj tersebut akan menjejaskan beberapa aspek terutama ekonomi setempat.

"Kerajaan perlu menetapkannya pada kadar minimum terlebih dahulu dan kita lihat hasilnya," kata beliau yang dipetik Sinar Harian.

Suhaizan turut mengingatkan kenaikan VEP ini perlu dikaji dengan teliti agar ia tidak membebankan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu.

"Kita harap kerajaan meneliti dan mencari satu nilai munasabah bagi caj tersebut dan ia bagi mengelakkan suasana panik ke atas warga Singapura," sambung beliau.

Sementara itu timbul ketidakpuasan hati dari kalangan penonton yang hadir apabila Suhaizan dilihat seolah-olah membela rakyat Singapura.

Menjelaskan hal itu beliau berkata, ianya bagi menjaga hubungan politik antara dua negara.

"Malaysia negara kelahiran saya, tetapi sebagai ahli politik yang matang, saya ingin menjaga hubungan antara Malaysia dan Singapura.

"Dalam isu VEP kita tidak mahu wujudkan permusuhan dan kita harus beri mesej yang jelas dan kalau timbulkan kebencian ia merupakan suatu yang tidak baik," katanya.

Wacana yang diadakan di Dewan Utama Kompleks Komuniti Tan Sri Mohamed Rahmat di Tampoi johor selain Suhaizan sebagai ahli panel turut dihadiri Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim, Pengarah Polisi DAP Johor, Wong Shu Qi dan Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat. -
Manakala, Moderator adalah Penganalisis Politik, Dr Maszlee Malik.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: