Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.  - Foto Bernama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
 
 
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula April depan tidak akan membebankan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa sistem percukaian itu yang diguna pakai kira-kira 90 peratus negara di dunia perlu dilaksana di Malaysia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan dan berkembang kukuh.
  
Beliau berkata, kerajaan tidak melaksanakan sistem percukaian GST secara terburu-buru, malah ia telah dikaji kerajaan sejak 30 tahun dahulu dan yakin ia akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
  
"Yakinlah, saya tidak akan susahkan rakyat Malaysia. Saya sebagai pengerusi BN tidak akan menyusahkan rakyat kerana kerajaan berdiri atas sokongan rakyat," katanya ketika menutup majlis Penerangan Perdana GST di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

GST dijadual diperkenalkan April 2015 pada kadar enam peratus bagi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus.

Najib juga menerangkan kepada kira-kira 2,000 orang awam yang hadir pada majlis itu mengenai manfaat perlaksanaan GST, yang mampu memacu ekonomi negara ke arah status negara maju.
  
Beliau berkata GST ini bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya telah disebut tiga Menteri Kewangan terdahulu, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa membentangkan belanjawan pada 30 Oktober 1992.
  
"Kita mesti ada sumber kewangan yang kukuh. Setiap kali belanjawan dibentangkan setiap tahun, jika tidak disebut bonus, maka belanjawan itu dianggap sebagai tidak baik.
  
"Untuk sebulan bonus, kerajaan perlu mengeluarkan hampir RM5.6 bilion. Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam sebanyak 1.5 juta orang dan 300,000 pesara, negara memerlukan hasil negara yang mencukupi," katanya.
  
Jelas Najib, bagi menentukan kemampuan kewangan negara terus mampan dan kukuh, maka hasil negara perlu ditambah menerusi perlaksanaan GST, yang mewajibkan rakyat membayar cukai apabila berbelanja.

Sehubungan itu, perdana menteri berkata daripada 12 juta pekerja Malaysia, hanya 1.2 juta orang yang membayar cukai pendapatan, dan wang ini digunakan untuk menampung keperluan 28 juta rakyat Malaysia.
  
"Antara lain, hasil pencukaian perlu untuk bidang kesihatan kerana terdapat keperluan untuk menambah hospital, katil dan sebagainya yang menjadi perkara mendesak untuk rakyat," katanya.
  
Bagaimanapun, Najib secara terbuka mengakui bahawa GST akan menyebabkan berlaku sedikit kenaikan terhadap harga barang tertentu iaitu sebanyak 1.8 peratus.
  
Namun beliau memberi jaminan ia tidak melibatkan barang keperluan asas dan perkhidmatan serta penguatkuasaan lebih rapi akan dilakukan dengan penambahan pegawai dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
  
"Orang ramai juga boleh lapor kepada kerajaan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang supaya tindakan boleh diambil," katanya, sambil menambah kata penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seharusnya menggunakan wang itu sebaik-baiknya.
 
Mulai tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan BR1M khas bayaran tambahan sebanyak RM300 kepada jumlah sedia ada bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah berikutan pelaksanaan GST.
  
Najib turut mengingatkan peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka secepat mungkin agar mudah memahami mengenai GST dan tidak mengamalkan sikap rakyat Malaysia yang suka menunggu sehingga saat akhir. - Bernama