Isnin, 8 September 2014

Pemuda PR rancang jumpa tiga pemimpin utama

HARAKAHDAILY





KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat mahu mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kekeruhan yang berlaku ekoran isu Menteri Besar Selangor.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, satu usaha penyelesaian segera perlu dibuat oleh pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti bagi mengembalikan semula sokongan rakyat khususnya di negeri Selangor.

"Hari kelewatan itu akan mengurangkan jumlah sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat di Subang hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Dapsy Teo Kok Seong.

Menurut Suhaizan, Pemuda Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin ketiga-tiga parti dengan segera bagi tujuan itu.

"Kami akan mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Dato Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang; Presiden PAS, Dato Sri Anwar Ibrahim; Ketua Umum PKR dan Saudara Lim Kit Siang; Ketua Parlimen DAP dalam waktu terdekat untuk menyampaikan hasrat Pemuda Pakatan Rakyat dan harapan anak muda Malaysia," katanya.

Beliau berkata, tindakan mengadakan pertemuan itu sebagai satu inisiatif bagi menyampaikan hasrat dan pandangan anak muda dalam kemelut yang berlaku itu.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: