Isnin, 8 September 2014

PasMa: Kenyataan saya disalah petik - Tuan Ibrahim

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan media yang memetik kenyataan beliau kononnya PAS melarang ahlinya menyertai NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) kecuali mereka keluar dari parti Islam itu.

Tuan Ibrahim berkata kenyataan yang dibuat beliau ketika diserbu wartawan selepas Ijtimak PAS Selangor di Seri Kembangan petang semalam itu telah dipetik secara tidak tepat.

"Kenyataan saya tentang penyertaan ahli parti dalam PasMa telah dilaporkan secara tidak tepat.

"Ahli PAS tidak dilarang menyertai mana-mana NGO, bahkan dalam PAS pun terdapat pelbagai NGO yang ditubuhkan.

"Namun, 'sekiranya NGO tersebut bertukar menjadi sebuah parti politik', maka ahli PAS dilarang menyertainya, melainkan ia bukan lagi ahli PAS," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu beliau mengingatkan ahli PAS agar terus istiqamah dengan parti dan mengawasi usaha musuh untuk memecah-belahkan jamaah.

Beliau juga memohon jasa baik media yang tersalah tafsir kenyataannya untuk memperbetulkan laporan mereka.- HARAKAHDAILY.

Tiada ulasan: