Isnin, 8 September 2014

Najib mesti tunai janji pada keluarga Teoh Beng Hock

teoh-beng-hock-32

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengotakan janjinya pada tahun 2009 kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk ‘melakukan apa saja’ supaya punca kematian dapat diketahui.

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim berkata, sudah tiba masanya Najib menunaikan janji berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang menyatakan bahawa Teoh tidak membunuh diri.

“Dengan keputusan terbaru ini, saya ingin mengingatkan Najib tentang janji yang diberikan kepada keluarga Teoh pada 28 Julai 2009 di pejabatnya.

“Najib ketika itu memberitahu ‘apa saja yang perlu akan dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian dan jika ada sebarang salah laku, tindakan pasti akan diambil’.

“Tapi, dalam tempoh lima tahun ini, apa yang kerajaan telah lakukan kepada keluarga Teoh selain dari kekecewaan, penderitaan dan kesedihan kerana keadilan yang mereka tuntut tidak pernah terjawab,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahli Parlimen Seputeh menegaskan, Najib bukan saja mendiamkan diri, malah langsung tidak mengambil pendekatan mendakwa pegawai SPRM yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011.

“Biarpun keputusan RCI kononnya menyatakan Teoh membunuh diri, pegawai-pegawai yang terlibat sepatutnya harus didakwa.

“Kini, berdasarkan keputusan terbaru Mahkamah Rayuan, Najib harus memenuhi janjinya dan memastikan kebenaran serta keadilan dapat diberikan kepada keluarga mendiang.

“Penghakiman terbaru ini adalah selaras dengan kepercayaan bahawa tidak ada sebab untuk Teoh yang dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan SPRM dan sedang membuat perancangan kahwin tiba-tiba membunuh diri,” tegasnya.

Mahkamah Rayuan 5 September lalu mengenepikan keputusan koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

Hakim Datuk Mah Weng Kwai dalam penghakimannya memutuskan bahawa ujian yang digunakan majistret di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini adalah salah.

Beliau juga menyatakan, koroner dan Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam undang-undang yang digunakan hingga menyebabkan kesilapan bukti. – Roketkini.com

Tiada ulasan: