Jumaat, 19 September 2014

Muktamar PAS lulus usul mansuh Akta Hasutan

HARAKAHDAILY 


BATU PAHAT: Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-60 yang berlangsung di Parit Haji Salleh Ros di sini hari ini meluluskan usul memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Usul bersama dari PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat itu dibacakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof dan diluluskan secara sebulat suara.

Gesaan pemansuhan akta itu dibuat antara lain kerana ianya bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dan sejagat.

Akta yang diwujudkan sejak zaman penjajah itu juga disifatkan sebagi lapuk tidak lagi releven dalam suasana 57 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Akta itu juga menurut usul tersebut, membolehkan seorang rakyat ditahan secara semberono tanpa perlu bukti dan kesan terhadap ucapan atau kenyataan yang dikeluarkan.

"(Melaui akta ini) kerajaan BN telah menodai nilai kebebasan pandangan dan pendapat sehingga segenap lapisan masyarakat tidak terlepas dari akta hasutan," kata Mujahid ketika membaca ucul tersebut.

Apatah lagi ujar beliau, akta ini bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara dan hukumannya pula adalah berat.

Menurut Mujahid lagi, akta ini juga telah menutup perbincangan sihat di kalangan rakyat tentang dasar kerajaan sedangkan dalam Islam, menegur pemimpin yang zalim adalah satu usaha yang mulia.

Desakan ini juga katanya, mengambil pengakuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata akta hasutan tidak releven dan perlu diganti dengan akta baru yang dinamakannya Akta Keharmonian Nasional.

"Maka atas kesedaran itu, PAS Pusat dan Dewan Muslimat mencadangkan meyegerakan pemansuhan akta hasutan.

"Kita juga mendesak agar akta baru yang akan menggantikan akta ini dibuat melalui proses konsultasi awam dan Jawatankuasa Khas Parlimen agar akta yang mengganti itu bukan yang lebih buruk," katanya.

Pada masa sama, PAS turut menyatakan solidariti kepada mangsa dan keluarga yang dikenakan tindakan di bawah akta hasutan tersebut.

Berikut adalah usul penuh.

AJK PAS PUSAT & DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
USUL MEMANSUHKAN AKTA HASUTAN 1948

1. MENGINSAFI DAN MENSYUKURI bahawa negara ini telah mencapai kemerdekaan sejak 57 tahun yang lalu dari penjajahan Britain dan,

2. Menyedari  bahawa AKTA HASUTAN 1948 merupakan undang-undang lapuk yang diperkenalkan  oleh British pada zaman penjajahan bertujuan membenam suara rakyat yang menuntut kemerdekaan di penjajahan British,

3. MENYEDARI bahawa, setelah merdeka selama 57 tahun, AKTA HASUTAN (1948) masih lagi dipakai hari ini sehingga menyebabkan ramai yang menjadi mangsa kepada kegilaan akta ini. Kebebasan bersuara menjadi satu jenayah di negara yang berbangga dengan bahtera merdeka sedangkan mereka terus mewarisi akta lapok yang mendefinisikan hubungan rakyat dan kerajaan seperti hubungan penjajah dan yang dijajah. Sebagaimana AKTA HASUTAN (1948) juga secara substantifnya mempunyai tahap pendakwaan yang rendah kerana ia tidak memerlukan niat untuk menentukan pengertian 'hasutan' begitu juga ia tidak memerlukan bukti kesan sesuatu ucapan atau penulisan kepada suasana huru-hara atau tindakan fizikal.

4. MENYESALI bahawa Kerajaan BN telah menodai nilai kebebasan memberi pandangan dan pendapat melalui akta ini sehinggakan setiap anggota masyarakat tidak terlepas dari cengkaman AKTA HASUTAN (1948) lantas boleh membawa kepada rasa tidak selesa rakyat bahawa hak bersuara mereka telah dirampas oleh pihak penguasa. Apabila suara golongan akademik dianggap sebagai ancaman dan apabila suara kritikan ahli Parlimen dianggap tidak setia kepada negara dan apabila wartawan yang melaporkan berita dijadikan sasaran maka malapetaka pastinya akan menimpa negara ini.

5. Memahami bahawa pendakwaan ke atas kes-kes Akta Hasutan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah di bawah Akta Hasutan adalah berat.

6. Menginsafi betapa penguatkuasaan Akta Hasutan telah menutup ruang perbincangan yang sihat ke atas tindakan-tindakan kerajaan Malaysia yang memberi kesan besar kepada rakyat Malaysia.

7. Menyedari bahawa Islam menganjurkan supaya berkata benar walaupun pahit di hadapan pemimpin yang zalim dan pemimpin sebenarnya adalah khadam kepada rakyat yang perlu mendengar rintihan dan ketidakpuasan hati rakyat.

8. MEMPERAKUI bahawa kebebasan bersuara dan memberi pandangan mesti dipelihara dan keharmonian nasional mesti menjadi matlamat utama oleh setiap rakyat dan pemimpin negara, satu akta yang relevan diperlukan. Keperluan ini diperkukohkan dengan janji PM Satu Malaysia yang berucap pada 16Sept 2012, bahawa AKTA HASUTAN akan dihapuskan dan digantikan dengan Akta yang lebih konsisten dengan perkembangan semasa negara. Malah PM telah menyebut buat pertama kalinya sebuah Akta yang dinamakan AKTA KEHARMONIAN NASIONAL.

9. Menyedari bahawa Islam menganjurkan supaya berkata benar walaupun pahit di hadapan pemimpin yang zalim dan pemimpin sebenarnya adalah khadam kepada rakyat yang perlu mendengar rintihan dan ketidakpuasan hati rakyat.

Justeru itu:

1.  Maka Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1453 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim menuntut dan mendesak Kerajaan Persekutuan di bawah kuasa BN untuk menyegerakan pemansuhan AKTA HASUTAN (1948) yang lapok dan tidak relevan lagi dari sudut doktrin dan substantifnya. Sebagaimana Muktamar menuntut supaya akta baru yang akan digantikan mestilah melalui proses  konsultasi awam dan melalui Jawatan Khas Parlimen supaya kita tidak menggantikan yang buruk kepada yang lebih buruk atau seumpamanya.

2. Muktamar kali ini juga merakamkan solidariti bersama mangsa AKTA HASUTAN (1948) dan keluarga mereka dan menyatakan sokongan kepada setiap pihak samada individu,gerakan sivil, mahupun parti-parti politik yang menggerakan GERAKAN MANSUHKAN AKTA HASUTAN dan menyeru rakyat menyokong gerakan ini demi memelihara PERPADUAN NASIONAL dan membela KEBEBASAN HAK BERSUARA di bumi Malaysia yang tercinta. Menyedari pelbagai pihak, termasuk wartawan dan ahli akademik, telah didakwa di mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang menggunakan  Akta Hasutan. - HARAKAHDAILY

1 ulasan:

CEO Siber berkata...

Adam Adli Dipenjara - Bukti UMNO BENCI anak muda!!

Tak perlu berdolak-dalik...

Politik tetap politik. Kuasa bukan segala2nya.... Tetapi kenapa pemimpin UMNO perlu takut dengan bayang2???

Adakah bila generasi tua UMNO mati, akan diganti dengan generasi datuk nenek UMNO???




Kekejaman pemimpin UMNO yang dilakukan kepada anak muda bukti jelas mereka membenci dan menghina anak muda dan takut dengan bayang2 sendiri!!!



Yang pasti, apabila pemimpin UMNO membuat sebarang hasutan dan kesalahan, mereka akan terlepas dan kalau didenda pun tidaklah setimpal...


Sumber berita

>>>> Klik Di Sini