Isnin, 15 September 2014

MB: Elaun KAFA RM1,500 & kenaikan gaji kontrak giat diusahakan

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri ketika ini sedang berusaha untuk menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,500 sebulan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau juga akan meminta pihak Kerajaan Pusat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu menaikkan kadar elaun itu.

KAFAKatanya, usaha itu penting demi masa depan yang lebih terjamin ekoran peningkatan kos kehidupan seharian ketika ini.

“Tugas mendidik dan mengajar anak bangsa merupakan tugas sepanjang masa. Hal ini menyebabkan kalangan guru KAFA tidak berkesempatan untuk melakukan kerja sampingan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

“Kita sedang berusaha menaikkan kadar elaun mereka kepada RM1,500. Sebelum ini, kita berjaya menaikkan kadar itu dari RM650 kepada RM1,300 sebulan,” katanya dalam ucapannya ketika merasmikan program Multaqa Imam-Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir peringkat negeri Selangor di Masjid Negeri di Shah Alam.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pemangku Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Hata Ahmad.

Abdul Khalid berkata pihaknya juga meminta JAKIM untuk membuat kajian agar guru-guru Kafa itu dapat ditukar daripada menerima gaji melalui sistem elaun kepada kenaikan gaji tahunan secara kontrak.

Selain itu, beliau turut meminta guru takmir ditambah menjadi 300 orang daripada 142 orang sahaja ekoran pertambahan jumlah masjid dan surau di negeri itu.

“Selangor mempunyai 400 buah masjid dan 1,800 buah surau. Oleh kerana penduduknya bertambah pesat, jadi diharapkan permohonan tambahan guru takmir mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.
Dalam program itu, kira-kira 1,000 orang peserta menyertai program yang terdiri daripada Guru Takmir, Imam dan Jawatankuasa Masjid seluruh negeri Selangor.

Ia diadakan bertujuan memberi ruang kepada pihak Jakim dan Jabatan Agama Islam Selangor berkongsi hasrat dan amanat berkaitan isu-isu dalam negara, pengurusan dan pengimarahan masjid serta menyampaikan maklumat semasa kepada peserta khususnya berkaitan hal ehwal Islam.EZY

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: