Sabtu, 13 September 2014

MB: 30 guru sekolah Tamil, Cina diberi biasiswa lanjut pelajaran

Oleh AFEEQA AFEERA


PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor mencadangkan 30 guru Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan Cina diberi biasiswa bagi membolehkan mereka melanjut pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia membolehkan golongan pendidik meningkatkan ilmu sekaligus memberi kualiti pendidikan serta pengajaran lebih baik kepada pelajar.
“Kita mesti beri tambahan kepada guru kalau tidak bagaimana anak-anak mahu mendapatkan kualiti pelajaran terbaik.

“Saya cadang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau Guru Besar menulis kepada Dr Halimah Ali untuk dapatkan biasiswa,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Sekolah Tamil Fasa 2 di SJK (T) Watson, malam tadi.

tamil
Sebanyak 26 sekolah menerima bantuan RM850,000 bagi meneruskan dasar Kerajaan Selangor terhadap pelbagai jenis sekolah yang diwujudkan sejak enam tahun lepas.

Antara sekolah yang menerima bantuan itu adalah SJK (T) Ladang Ampar Tenang, SJK (T) Ladang Escot, SJK (T) Ladang Riverside, SJK (T) Ladang Sungai Tinggi, SJK (T) Ladang Minyak, SJK (T) Pulau Carey Barat, SJK (T) Batu Caves, SJK (T) Klang dan lain-lain.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Beli dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata sebanyak RM20 juta diperuntuk Kerajaan Negeri kepada SJK (T) di Selangor sejak 2009.

Katanya, peruntukan itu bagi memastikan pembangunan infrastruktur di sekolah jenis berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik untuk keselesaan pelajarnya.

“Selangor tiada diskriminasi dari sudut pendidikan, ibu bapa bebas memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke mana-mana sekolah.

“Sebelum 2008, semua jenis sekolah dibolehkan tetapi Kerajaan Negeri tidak beri bantuan, hanya selepas pentadbiran baru kita beri (peruntukan),” katanya.

Tiada ulasan: