Khamis, 11 September 2014

Kertas BI: Peperiksaan semula 30 Sept

MALAYSIAKINI


 


Lembaga Peperiksaan hari ini membatalkan kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 kerana didapati turut bocor.
  
Dalam kenyataannya, badan peperiksaan itu mengumumkan 30 September sebagai tarikh baharu untuk kertas peperiksaan berkenaan, bersekali dengan pengambilan semula kertas Science 018, 028 dan 038 yang ditangguhkan sebelum ini kerana kebocoran kandungan soalan yang dikesan.
  
"Adalah dimaklumkan bahawa Lembaga Peperiksaan telah menerima laporan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi  UPSR 2014 telah didapati bocor.
  
"Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini benar," kata kenyataan itu.
  
Semalam, ia mengumumkan kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 ditangguhkan ke 30 September ini kerana kandungan soalannya didapati tersebar melalui media sosial.
  
Lembaga Peperiksaan berkata ia akan menyiasat semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan yang berlaku.
  
"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan," kata badan itu.  

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata perkara itu disahkan pada 11 pagi tadi selepas kementerian menerima maklumat malam tadi yang  disebarkan melalui media sosial.
  
Beliau berkata kementerian memohon maaf atas insiden kedua itu selepas soalan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 yang dijadualkan hari ini bocor dan terpaksa ditangguhkan ke 30 Sept.
  
“Kita akan pastikan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan yang sekeras-kerasnya kerana kita melihat integriti telah dipersoalkan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
  
“Saya sekali lagi merakamkan rasa dukacita tentang apa yang berlaku dan memohon maaf kepada ibu bapa yang terpaksa menanggung kesusahan,” katanya di sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian dan pelaksanaan Program Latihan Berteraskan Continuous Professional Development (CDP) di Putrajaya hari ini.

Idris berkata satu jawatankuasa bebas akan dibentuk dalam masa terdekat bagi menyiasat insiden tersebut yang disifatkannya telah mencemarkan kredibititi dan integriti kementerian itu.
  
"Ianya (set kertas peperiksaan) merupakan soalan yang lengkap. Jadi kita akan tubuhkan satu jawatankuasa bebas dan berprofil tinggi dengan mengambil kira keseriusan dan untuk melihat apa yang telah berlaku sebenarnya.
  
"Jawatankusa ini bukan sahaja untuk menghukum mereka yang terlibat tetapi juga memastikan perkara ini tidak berulang selain memberi pandangan kepada kementerian apakah langkah-langkah yang perlu diambil,” katanya.
  
Beliau berkata panel jawatankuasa itu akan dilantik berdasarkan mereka yang memahami aspek keselamatan tinggi seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
  
“Kita akan pastikan jawatankuasa ini berterusan dan akan terus memberikan cadangan-cadangan kepada kementerian apakah langkah, tindakan, tahap keselamatan yang perlu dibuat dari semasa ke semasa supaya kita dapat mengatasi isu-isu perkembangan teknologi yang digunakan oleh mereka-mereka yang ada akses kepada teknologi atau menyalahgunakan kuasa,” katanya.
  
Mengenai tarikh untuk menduduki semula kertas itu, Idris berkata kementerian sedang meneliti sama ada ia boleh diadakan pada 30 September bersama peperiksaan kertas Sains atau pada tarikh lain.
  
Beliau berkata tarikh baru adalah perlu dengan mengambil kira pelbagai aspek antaranya isu logistik dan teknikal termasuk soal keselamatan soalan dan integriti kerana ia melibatkan 473,175 murid, 8,299 pusat peperiksaan, 51,438 petugas peperiksaan dan 382 bilik kebal.
  
Idris berkata kementerian akan memastikan tidak berlaku lagi soalan peperiksaan bocor.
  
Katanya hasrat kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah untuk mengurangkan fokus kepada peperiksaan dan mengelakkan insiden sebegini berlaku.
  
Mengenai program CPD, beliau berkata program itu diadakan dengan kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi tempatan dalam menawarkan program latihan yang memberi manfaat kepada pegawai menerusi pengiktirafan berbentuk peningkatan kelayakan akademik iaitu di peringkat sarjana dan diploma kepada warga kementerian tersebut.

Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa tarikh peperiksaan untuk mata pelajaran Sains bagi peperiksaan itu ditunda ke 30 September ini.

Ia memandangkan peperiksaan mata pelajaran itu, yang sepatutnya diduduki pada 11 September dikesan tersebar luas di laman sosial. - Bernama

Tiada ulasan: