Selasa, 23 September 2014

Iskandar tegur Guan Eng supaya 'jangan pandang belakang'

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar dan Shawaliah Hadir
Post Pic



SHAH ALAM: Exco Selangor, Iskandar Samad hari ini menegur DAP kerana masih mempertikaikan penyertaan empat exco PAS dalam pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang lalu sungguhpun Menteri Besar Selangor yang baharu sudahpun dilantik.

Katanya, empat exco PAS bertindak demikian bagi memastikan Selangor kekal di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat sekali gus mengelakkan pilihan raya negeri (PRN) mengejut diadakan.
 
"Jika empat orang exco juga letak jawatan, (bermakna) kerajaan negeri juga telah tumbang. Mungkin akan berlaku pilihan raya negeri. 
 
Empat exco terus pertahan polisi dan prinsip Pakatan Rakyat di dalam kerajaan negeri Tan Sri Khalid di Selangor," ujar Iskandar menerusi aplikasi WhatsApp kepada Antarapos.
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi kenyataan medianya selepas Azmin sah dilantik menjadi MB Selangor berkata, parti itu menyokong pelantikan itu.
 
Beliau kemudiannya mensasarkan kritikannya kepada empat exco PAS di Selangor kerana ingkar pada prinsip solidariti dan demokrasi serta kegagalan untuk setia bersama enam lagi exco DAP dan PKR yang dipecat secara tidak adil oleh bekas menteri besar.
 
Khalid sebelum ini bertindak memecat enam exco berkenaan atas alasan mereka cuba 'mengurangkan kecekapan' pengurusan kerajaan negeri.
 
Iskandar menegaskan Guan Eng tidak perlu toleh ke belakang dan seharusnya pandang ke depan bagi memastikan Selangor terus maju dan berdaya saing.
 
"Lim Guan Eng sepatutnya bawa semangat baru ke hadapan. Bukannya memandang ke belakang," tambanya.
 
Seorang lagi exco Selangor, Sallehen Mukhyi yang ditemui pemberita selepas istiadat pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu di Istana Alam Shah menyifatkan Guan Eng sebagai tidak memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
 
"Guan Eng tidak faham Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Jadi pada ketika itu yang ada adalah Umno -BN kalau kita tidak ada, MB boleh pilih empat orang daripada Umno untuk jadi exco.
 
"Jadi sebab itu saya mengatakan bahawa empat orang exco ini sebenarnya walaupun dituduh sebagai pengkhianat tapi sebenarnya kami adalah benteng terakhir untuk selamatkan kerajaan Pakatan Rakyat," kata Sallehen ringkas kepada pemberita yang menunggu hampir tiga jam di perkarangan Istana Alam Shah. 
 
Pada Muktamar PAS kali ke-60 di Johor hujung minggu lalu, Sallehen yang juga perwakilan PAS Selangor berkata, kesemua empat exco PAS Selangor berkorban apabila terus kekal dalam pentadbiran Khalid.
 
Menurutnya, mereka dicemuh rakan komponen Pakatan Rakyat yang lain walhal tindakan itu diambil bagi memastikan Selangor masih dalam kawalan gagasan itu.
 
“Walaupun kita mendapat sindiran daripada beberapa rakan-rakan dalam PR, empat kerusi inilah menjadi benteng terakhir Kerajaan PR Selangor.
 
“Walaupun kita boleh melantik exco baru, kita tak buat begitu kerana kita mahu menghormati rakan kita dalam PR,” tambahnya.
 
Empat exco PAS itu dijangka kekal dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor yang baharu, Azmin Ali.
 
Mereka adalah ADUN Chempaka, Iskandar Samad; ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi; ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi dan ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali.
 
Azmin pagi tadi mengangkat sumpah jawatannya di Balairong Seri Istana Alam Shah di Klang.

Tiada ulasan: