Isnin, 1 September 2014

Dewan Ulama PAS Selangor lulus usul kecam Saari, Hasnul

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS Selangor hari ini meluluskan usul mengecam dan mengutuk tindakan dua ADUN parti itu, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) berikutan tindakan kedua-dua mereka yang 'mendahului' pendirian parti berhubung krisis jawatan Menteri Besar.
 
Kedua-dua wakil rakyat PAS itu sebelum ini bertindak menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor baharu tanpa merujuk kepada parti terlebih dahulu.
 
Menurut kenyataan Dewan Ulama PAS Selangor, usul mengecam dan mengutuk tindakan Saari dan Hasnul dipersetujui pada muktamarnya yang berlangsung di Dewan Al-Munirah, Klang, hari ini.
 
"(Tindakan lanjut) diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat untuk mengambil tindakan ke atas ADUN berkenaan mengikut Fasal 82, Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011," jelas kenyataan itu.
 
Baru-baru ini, Hasnul Baharuddin dan Saari Sungib menyatakan sokongan mereka secara terbuka kepada Wan Azizah untuk dilantik sebagai menteri besar dalam satu sidang akhbar bersama Pakatan Rakyat.
 
Tindakan mereka itu menyaksikan Wan Azizah memperoleh sokongan daripada 30 ADUN lain bagi membolehkannya dilantik menggantikan Khalid. 
 
Dalam pada itu juga, baki 13 ADUN PAS yang lain tidak akan menandatangani akuan tersebut setelah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu tiada keperluan untuk berbuat demikian.
 
Sementara itu, beberapa pimpinan tertinggi PAS Selangor dalam kenyataan mereka sebelum ini berkata akan menyerahkan kepada PAS Pusat dalam menentukan keputusan mengenai calon menteri besar negeri itu.

Tiada ulasan: