Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
 
SHAH ALAM – DAP hari ini memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana parti itu telah menyebabkan tuanku berasa dukacita terhadap keputusannya mengemukakan hanya satu nama iaitu Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai  calon menteri besar baharu.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, meskipun parti itu gagal memenuhi permintaan tuanku supaya mengemukakan lebih dua nama bagi jawatan itu, namun pihaknya sentiasa setia dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan itu.

“Saya ingin memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana telah menyebabkan tuanku merasa dukacita terhadap keputusan parti DAP mengemukakan nama Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

“Keputusan DAP itu telah dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013,” katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulitnya menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda supaya parti-parti dalam PR mengemukakan lebih dua nama bagi calon jawatan menteri besar. 
 
Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda.
 
Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah menerima senarai calon menteri besar daripada ketiga-tiga parti dalam PR namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama.
 
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP akan berunding dengan Ketua Pembangkang itu berkenaan dengan titah Sultan Selangor terbaru itu secepat mungkin.
 
“DAP mengulangi kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan Selangor yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku,” katanya lagi.