Sabtu, 13 September 2014

CJ: Hakim perlu berani buat keputusan tak popular

MALAYSIAKINI


Hakim perlu memiliki keberanian moral untuk membuat keputusan tidak popular dalam kalangan ahli politik atau media dan orang ramai," kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
  
Beliau berkata hakim tidak perlu khuatir jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mereka jika mereka sudah menyediakan penghakiman yang jelas berdasarkan autoriti undang-undang kes.
  
"Tidak ada arahan kepada hakim untuk bersetuju dengan keputusan majoriti panel yang bersidang di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan," katanya dalam ucapan pada majlis angkat sumpah 15 hakim yang dilantik ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
  
Panel Mahkamah Persekutuan yang bersidang untuk mendengar sesuatu kes dianggotai lima atau tujuh hakim manakala Mahkamah Rayuan terdiri daripada tiga hakim.
  
Arifin turut mengingatkan hakim agar menulis alasan penghakiman dengan jelas dan dalam bahasa yang mudah difahami pihak terbabit terutama mereka yang tidak diwakili peguam.
  
"Saya ingin berpesan kepada mana-mana pihak terutama para peguam agar tidak mengambil tindakan yang membelakangkan kedaulatan undang-undang dalam menyalurkan rasa ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah," katanya.
  
Beliau berkata hakim, pegawai kehakiman dan peguam perlu bersama-sama memelihara martabat dan integriti kehakiman bagi mengelak kepercayaan rakyat dalam proses keadilan di negara ini tergugat.
  
"Pada akhirnya, apa yang paling penting ialah persepsi umum terhadap badan kehakiman. Sebuah badan kehakiman kehilangan nilai dan perkhidmatan kepada masyarakat jika orang ramai tidak yakin dengan keputusannya.
  
"Saya menggesa semua pihak agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memuat naik pandangan serta pendapat mereka di laman media sosial kerana kesannya amat besar dan boleh menghakis kepercayaan umum kepada badan kehakiman," kata Arifin.
  
Menyentuh isu lain, beliau berkata berikutan pindaan terhadap Akta Saraan Hakim 1971, mereka tidak dibenar bersara sebelum mencapai usia 60 tahun dan berkhidmat sekurang-kurangnya 5 tahun bagi membolehkan mereka mendapat pencen.

Peruntukan baharu itu bertujuan menyediakan fleksibiliti kepada mana-mana hakim yang merasakan bahawa beliau tidak dapat meneruskan tugasnya atau ingin bersara awal atau sebarang alasan lain sebelum mencapai umur persaraan wajib.
  
Arifin juga berkata beliau berpuas hati kerana kebanyakan hakim mematuhi arahan amalannya yang tidak membenarkan perbicaraan mana-mana kes ditangguh tanpa sebarang alasan kukuh.
  
Bagaimanapun, beliau mendapati ada hakim yang tidak mematuhi arahan amalan yang menghendaki mereka membuat keputuan tidak lebih empat minggu dan menyediakan alasan penghakiman dalam tempoh lapan minggu daripada tarikh kes ditangguh untuk keputusan.
  
Di majlis itu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azahar Mohamed, 58, Peguam Cara Negara Tan Sri Idrus Harun, 59, serta enam Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi, 60, Datuk P. Nallini,  55, Dr Badariah Sahamid, 59, Ong Lam Kiat Vernon, 57, Abdul Rahman Sebli, 55, dan Dr Prasad Sandosham Abraham, 63, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan.
  
Azahar dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan manakala yang lain sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
  
Tujuh Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, 55, Datuk Wira Kamaludin Md Said, 56, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, 57, Teo Say Eng, 62, Rosilah Yop, 56, Datuk Hashim Hamzah, 52, dan Datin Azizah Nawawi, 52, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. Pelantikan mereka berkuat kuasa semalam.- Bernama

Tiada ulasan: