Selasa, 2 September 2014

Bubar JPP, buktikan keikhlasan Kerajaan Pusat

AHMAD FADHLI SHAARI


Saya ingin memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini 1 September 2014.

Di dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa Kelantan tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat di mana Kelantan dikatakan telah menerima RM590 juta sejak tahun 2004 untuk menampung deficit perbelanjaan akaun mengurus negeri ini.

Bahkan menurut beliau, pada tahun lepas (2013), kerajaan Pusat telah meluluskan RM86 juta untuk membantu kerajaan negeri.

Suka untuk saya menyatakan bahawa angka-angka yang disebut oleh oleh  Datuk Mustapa tersebut perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum diterima.

Jika diandaikan bahawa angka-angka tersebut adalah benar, maka ia jauh lebih kecil berbanding dengan peruntukan kerajaan Pusat terhadap Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang wujud di Kelantan selepas sahaja Umno tumbang di dalam pilihanraya umum 1990.

Saya memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Mahktar Mustafa di Tumpat pada 5 Mac 2010 yang lepas yang menyatakan bahawa JPP dijangka memperoleh peruntukan antara RM5 bilion dan RM7 bilion bagi melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), mulai tahun 2011.

Memandangkan RMK10 mengambil tempoh selama 5 tahun untuk dilaksanakan dan jumlah minima yang diperolehi oleh JPP ialah RM5 billiion, maka peruntukan dari kerajaan pusat untuk JPP ialah RM1 billion setahun!

Ia bukan angka yang kecil namun ia menjadi amalan biasa kepada kerajaan Pusat di dalam meminggirkan peranan kerajaan Kelantan sebagai sebuah kerajaan yang sah.

Jika diundur lagi sebelum tahun 2010, maka kita boleh membaca kenyataan dari Pengarah JPP sebelum Makhtar iaitu Datuk Mohd Shukry Salleh di mana pada 27 April 2008, beliau menyatakan bahawa JPP Kelantan telah membelanjakan RM2.3 bilion daripada peruntukan RM4.4 bilion yang diterima daripada kerajaan pusat untuk projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di negeri ini.

Jumlah RM4.4 billion jika dibahagikan dengan tempoh 5 tahun menjadikan jumlah purata setahun peruntukan untuk JPP ialah sekitar RM900 juta!

Fikirkan dengan akal yang waras, besar sangatkah jumlah RM86 juta (jika benar) yang didakwa oleh Datuk Mustapa Mohamed itu untuk Kelantan pada tahun lepas jika dibandingkan RM1 billion untuk JPP?

Ia kelihatan barangkali sedikit besar kerana dihimpunkan dari tahun 2004, maka saya cadangkan beliau menyebut angka dari tahun 1990 agar ia kedengaran lebih besar.

Saya juga melihat perkataan defisit itu seperti diberikan penekanan oleh Mustapa di dalam kenyataannya.

Suka untuk saya cadangkan agar beliau dapat menyemak kembali bajet kerajaan Malaysia sendiri yang dibentangkan saban tahun di dalam Parlimen oleh Menteri Kewangan.

Untuk rekod, bagi tahun 2014, bajet yang dibentangkan pada Oktober 2013 yang lepas ialah bajet defisit kali ke 16 semenjak tahun 1998.

Di Kelantan, bajet defisit bukan sahaja dibentangkan semenjak tahun 2004 bahkan sebelum dari itu lagi.

Semenjak awal pentadbiran PAS di negeri Kelantan contohnya, bajet yang dibentangkan sentiasa defisit namun di akhir tahun, berlaku lebihan hasil daripada kecekapan pengurusan dan penjimatan dalam urusan perbelanjaan.

Untuk rekod, pada tahun 1992, dalam anggaran bajet, Kelantan mengalami defisit sebanyak RM16.63 juta, tetapi ketika perbelanjaan sebenar, Kelantan mempunyai lebihan RM9.32 juta.

Begitu juga pada tahun 1993, semasa anggaran bajet dibuat, defisit sebanyak RM27.27 juta, tetapi selepas perbelanjaan sebenar, Kelantan masih mempunyai lebihan sebanyak RM30.33 juta.

Hakikatnya, Kelantan dipinggirkan semenjak 24 tahun yang lepas dan masih dipinggirkan sehingga sekarang.

Isu-isu seperti royalti minyak, lapangan terbang, lebuh raya dan pelbagai lagi deretan isu-isu tertunggak membuktikan bahawa kerajaan Pusat masih belum berlaku adil kepada Kelantan sehingga ke hari ini.

Jika benar Datuk Mustapa ingin membuktikan penegasan beliau bahawa Kelantan tidak pernah dipinggirkan, saya suka untuk memohon beliau untuk melakukan satu langkah pertama yang cukup berani, bubarkan JPP dan segala urusan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat dikembalikan kepada format asal iaitu melalui Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), bukannya Pejabat Pembangunan Persektuan (JPP).

Sekian, terima kasih.

* Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan

- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: