Jumaat, 5 September 2014

Beban yang ringan pun akan menjadi berat, jika dipikul terlalu lama

ASPAN ALIAS



Bermula dari ‘Kajang Move’ mac lalu sehingga sekarang keadaan di Selangor belum terlerai lagi. Sekarang untuk menyempurnakan ‘Langkah Kajang’ itu tidak atau belum menjadi lagi. Lama betul untuk memenuhi kehendak Anwar ini.  Halangan pertamanya ialah untuk menjadi calon PRK Kajang itu sendiri kerana beliau tersekat dengan masalah undang-undang yang beliau hadapi sejak 1998 dahulu lagi. Selepas itu digantiikan dirinya dengan isteri beliau yang telah begitu sabar menutupi dan membantu beliau dalam penyelesaian masalah yang beliau hadapi.

Cita-cita beliau begitu besar, tetapi dalam usaha mencapai cita-cita, beliau terpaksa membawa beban yang berat sehinggakan beliau mahukan semua pihak dalam Pakatan Rakyat membantu menjinjing dan menjunjung bersama masalah beliau. PAS dan DAP telah lama menjinjing sekali masalah Anwar bagi meringankan beban beliau itu. Bebannya itu menjadi ringan, tetapi jika perjalanan itu begitu jauh beban yang ringan pun akan menjadi berat.

Dua kilo beras itu ringan untuk dijinjing, tetapi jika menjinjing beras dua kilo itu memakan masa berjalan kaki yang lama. dua kilo itu akan menjadi berat. Itu sebabnya ramai yang memikul beban yang ringan, tetapi memakan masa dan perjalanan yang jauh, beban itu kadangkala di tinggalkan di tepi jalan. Maka memikul beban yang berat tetapi dalam perjalanan yang pendek itu adalah lebih baik dari memikul beramai-ramai beban walaupun ringan tetapi perjalanannya terlalu jauh dan menjemukan. Apabila merasa jemu dengan beban itu yang ringan tadi pun akan terasa berat.

PAS nampaknya mulai sedar bahawa memikul beban yang sama terlalu lama membuatkan parti itu tidak dapat mendahului perjuangannya. Sejak beberapa tahun ini parti itu terpaksa mendahulukan masalah rakannya yang terlalu ‘prone’ kepada melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Parti itu sudah mulai merasa penat dengan pemimpin nakal dan banyak kerenah itu. Begitu lama PAS bersama membantu dan menolong beliau memikul bebannya, tetapi beliau tetap menambah bebannya kepada PAS dan rakan yang lain itu.

Beban yang ada pun sudah berat, sekarang ditambah pula dengan beban yang baru. Sekarang PAS dan DAP di minta untuk menerima tambahan beban yang sudah tersedia berat tadi. Akhirnya PAS sentiasa menghabiskan masa dan usianya untuk memikul beban pemimpin ini, entah bila kan sampai kepenghujungnya. Rupa-rupanya Pakatan Rakyat itu hanya lah bertugas untuk meringankan beban beliau sahaja dan PAS terpaksa mengorbankan matlamatnya dan perjuangan nilai yang di perjuangkan mereka itu.

Kini PAS dituntutnya untuk menerima seorang wanita menjadi pemimpin kerajaan, sedangkan bukan sahaja PAS, orang ramai pun masih belum dapat menerima wanita untuk mengetuai kerajaan lebih-lebih lagi wanita itu akan hanya menjadi ‘rubberstamp’ kepada seseorang itu. Kenapa masih mahu berlindung di tempat yang terang?

Pemimpin dan Ketua Pembangkang ini ibarat seorang yang menaiki lancang dan lancang itu dipikul oleh DAP dan PAS.  Lancang yang dipikul isi semakin hari semakin berat, sedang beliau hanya bertitah dari atas lancang kemana hendak diarahkan lancang itu. Itu sendiri sudah menunjukkan kemungkinan akan bocor.

Sampai bila dan sampai mana lancang itu hendak dipikul? Itu masing-masing lah yang memberikan jawapannya. Tidak payah diberikan jawapan itu kepada sesiapa, jawap pada diri sendiri pun sudah mencukupi.

Tiada ulasan: