Jumaat, 2 Mei 2014

Suhakam puji polis dan penganjur perhimpunan aman anti-GST

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memuji pengendalian aman bagi himpunan anti-GST di sekitar jalan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur semalam.

"Suruhanjaya melihat perkara ini sebagai satu hasil positif daripada kerjasama baik di kalangan penganjur perhimpunan, peserta dan pihak berkuasa," kata Pengerusi Suhakam, . Tan Sri Hasmy Agam.

Suruhanjaya turut memuji pihak polis dan penganjur atas hubungan kerjasama positif mereka menerusi satu siri dialog yang telah diadakan sebelum perhimpunan yang membawa kepada persetujuan kedua-dua pihak dalam beberapa aspek utama yang berkaitan dengan perhimpunan, terutamanya persetujuan polis untuk penganjar menggunakan jalan raya berhampiran Dataran Merdeka walaupun Dataran  tersebut ditutup untuk kerja naik taraf.
  

Suruhanjaya berbesar hati memerhatikan bahawa tiada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) digunakan semasa perhimpunan tersebut dan jalan-jalan utama dan stesen pengangkutan awam juga tidak ditutup.

"Pihak polis, dengan bantuan marshal penganjur, telah berjaya memudahcarakan kawalan lalulintas dan pergerakan orang ramai sepajang perhimpunan tersebut bagi memastikan peserta perhimpunan boleh bergerak dari semua lokasi tanpa banyak kesulitan.," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Suruhanjaya juga berbesar hati dengan pembaharuan positif dalam profesionalisme pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam mengendalikan perhimpunan awam seperti yang ditunjukkan menerusi KL112 dan perhimpunan anti-kenaikan harga serta perhimpunan semalam.

Demikian juga, Suruhanjaya memuji penganjur dan peserta atas hubungan kerjasama positif mereka dengan pihak berkuasa.

"Suruhanjaya mengalu-alukan kerjasama berterusan, persefahaman dan rasa hormat dalam perhimpunan aman masa depan ke arah memastikan hak asasi rakyat untuk kebebasan berhimpun
dapat dipelihara sepenuhnya pada setiap masa," tambahnya.

Tiada ulasan: