Selasa, 27 Mei 2014

Siapa di sebalik skandal pinjaman RM40 juta?

MUHAMMAD FAIZAL


TELUK INTAN: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dan membuat siasatan berhubung isu skandal pinjaman RM40 juta Bank Rakyat seperti yang didedahkan bekas menteri yang juga bekas pengerusi bank itu, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang ditemui Harakahdaily menegaskan SPRM tidak boleh berdiam diri dalam isu tersebut kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Isu skandal pinjaman RM40 juta amat serius, siasatan segera perlu dilakukan SPRM. Bagaimana Datuk Seri Hasan Malek selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan boleh membuat keputusan menyelesaikan hutang RM32 juta tanpa kiraan faedah.

"Kita ingin tahu atas arahan siapa ia dilakukan, adakah bertujuan untuk menutup mulut individu yang mempunyai maklumat skandal pemimpin negara," ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak berdiam diri dan tampil membuat penjelasan.

"Selaku Menteri Kewangan, Najib kena jelaskan keputusan yang telah dibuat bagaimana pinjaman mudah diberikan RM40 juta hutang tanpa bayaran faedah.

"Malah penyelesaian hutang tertunggak juga melalui kaedah 120 cek tunda untuk ditunaikan oleh pihak bank dalam jangka masa 10 tahun, ia suatu yang mustahil berlaku tanpa arahan orang yang mempunyai kuasa," sambung beliau.

Tambah beliau, skandal pinjaman ini membuktikan kerajaan hanya mementingkan kepentingan kroni tanpa memikirkan hak kepentingan rakyat yang mempunyai simpanan dalam bank tersebut.

Tiada ulasan: