Sabtu, 3 Mei 2014

Setahun selepas PRU13, bekas bos NSTP gesa rakyat nilai prestasi Najib

OLEH DIYANA IBRAHIM


Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Datuk A Kadir Jasin berkata permerintahan di bawah Datuk Seri Najib Razak wajar dinilai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mei, 2014.Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Datuk A Kadir Jasin berkata permerintahan di bawah Datuk Seri Najib Razak wajar dinilai. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Mei, 2014. 


Setahun selepas pilihan raya umum paling sengit dalam negara, The Malaysian Insider melihat kembali apa yang berlaku kepada negara selepas itu. Dalam bahagian pertama ini, kita melihat apa yang sudah berubah dan apakah keadaan kita lebih baik dalam penggal kedua pentadbiran Barisan Nasional di bawah Datuk Seri Najib Razak.

Datuk A Kadir Jasin menggesa rakyat Malaysia menilai semula prestasi Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri sempena ulangtahun pertama kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, ini merupakan masa terbaik bagi rakyat Malaysia mengemukakan pendapat dan berbincang mengenai keadaan negara.

"Saya rasa mungkin ini masa terbaik bagi para pembaca dan pembahas mengemukakan pendapat dan berbincang secara terperinci dan berhemah mengenai keadaan negara kita kerana beberapa hari lagi, iaitu pada 6 Mei, genaplah setahun Mohd Najib Abdul Razak memerintah negara dengan mandatnya sendiri setelah menang Pilihan Raya Umum 2013," tulis Kadir dalam blognya semalam.

Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh menilai semula gagasan yang dilaungkan perdana menteri untuk transformasi dan penambahbaikan ekonomi negara selain kebajikan rakyat selama pentadbirannya.

"Saya yakin ramai pembaca dan pembahas masih ingat kepada riuh-rendah dan hiruk-pikuk kita dipersembahkan dengan ikrar KPI, NKRA, keterangkuman, transformasi, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, serta banyak lagi slogan dan moto," tulis beliau, merujuk kepada indeks prestasi dan Bidang Keberhasilan Utama Nasional.

Menurut Kadir, rakyat Malaysia bebas membuat pilihan sama ada berpuas hati atau tidak dengan pencapaian Najib selama memangku jawatan tertinggi negara itu, iaitu sejak Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan pada 2009.

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan dan komitmen pembaca serta pembahas untuk membuat analisis dan kesimpulan pencapaian Najib sejak 2009," katanya.

Ini bukan kali pertama bekas bos NSTP itu mengkritik pentadbiran Najib melalui tulisannya di blog.
Pada PRU13 lalu, BN mengekalkan kemenangan dengan majoriti lebih rendah dengan 133 kerusi di Dewan Rakyat, keputusan yang lebih buruk berbanding Pilihan Raya Umum 2008.

Selepas PRU13, kerajaan BN mengumumkan kenaikan harga barang keperluan asas seperti minyak dan gula.

Najib juga pada tahun lalu memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6%, yang akan berkuatkuasa pada April tahun‎ depan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, penganalisis politik, Dr Wong Chin Huat, menggambarkan suasana sekarang, setahun selepas pilihan raya umum 5 Mei, sama seperti empat tahun pertama selepas Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada 2009.

“Kerajaan Najib setahun selepas 5 Mei mempunyai ciri-ciri kedua-dua penindasan aktif kepada golongan penentang dan minoriti dan kegagalan pasif dalam tadbir urus negara.

“(Ini) dilihat dalam penganiayaan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan peminggiran orang bukan Islam, dan kegagalan dalam menguruskan krisis MH370 itu," kata Wong.

Tiada ulasan: