SHAH ALAM – Pencarian pesawat MH370 di Teluk Benggala bergantung pada nasihat pakar, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.
Menurutnya terdapat kapal yang mampu melakukan misi untuk pencarian yang lebih terperinci di kawasan Teluk Benggala namun ada pertimbangan lain yang perlu diambil kira.
“Berkenaan isu di Teluk Benggala, kita telah mendapatkan bantuan daripada Bangladesh dan India. Seperti yang diumumkan sebelum ini, kita tak menemui apa-apa.
“Sekarang ini, kita mahu pencarian yang lebih terperinci melibatkan aset komersial. Kita ada kapal yang mampu melakukannya tapi memerlukan masa yang lebih lama dan ia menelan kos yang tinggi,” katanya pada sidang media perkembangan misi pencarian MH370, hari ini.
Sehubungan itu, dalam membuat keputusan sama ada memulakan pencarian di Teluk Benggala atau tidak, Hishamuddin menyerahkan kepada pakar untuk memberi nasihat.
“Jadi, dalam membuat keputusan sama ada kita akan pergi lebih jauh (atau tidak), saya akan serahkan kepada pakar untuk memberi nasihat.
“Kerana ia membabitkan wang dan memberi kesan pada operasi serta siapa yang akan bertanggungjawab andai di akhir pencarian nanti, keputusannya adalah negatif?,” katanya.
Sebelum itu pada sidang media sama, beliau mengesahkan ada pihak ketiga yang telah menunjukkan kesanggupan untuk membantu dari segi pembiayaan misi pencarian tersebut.
“Jumlah yang sepatutnya dibiayai oleh Malaysia belum dapat kita tentukan lagi kerana pertama, untuk mengenal pasti lokasi yang perlu kita cari. Kedua, aset yang diperlukan dan ketiga, aset-aset yang mungkin boleh dibekalkan daripada kerajaan atau pihak tentera yang tidak menyentuh kepada pertimbangan komersial.
“Akhir sekali, saya boleh mengesahkan ada pihak ketiga yang telah menunjukkan kesanggupan untuk membantu sekiranya carian ini memerlukan pembiayaan lebih daripada kemampuan kita.
“Tetapi saya nak tekankan di sini, dengan jumlah yang ada ini, kita akan teruskan pencarian dan lebih ramai tampil ke depan, lebih cepat atau lebih efektif kemampuan kita untuk memastikan kejayaan,” katanya.
Namun beliau masih belum mengumumkan identiti pihak ketiga tersebut.
Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan