Rabu, 14 Mei 2014

'Raja Dadah' warga Iran ditahan

Khalid Abu Bakar  
Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 'Raja Dadah' sindiket pengedaran antarabangsa dari Iran, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya, mengucapkan tahniah kepada Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) atas kejayaan terbaharu itu.

Mesej Tweetnya itu menyebut: "Syabas lagi STING @PDRMsia berjaya berkas Kingpin Dadah warga Iran yang sangat dikehendaki sebentar tadi. Bebaskan Negara dari dadah!"

Dalam tweetnya itu, beliau berkata pihaknya turut menahan dua warga Nigeria dan merampas 9.4 kilogram syabu di Bukit Jalil, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk NoorRashid Ibrahim ketika dihubungi Bernama berkata beliau belum menerima maklumat terperinci mengenai kejadian itu kerana operasi berkenaan baru dijalankan.

Bagaimanapun, satu sidang media akan diadakan esok di Bukit Aman, katanya.

Semalam, PDRM memaklumkan JSJN dan Sting berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa berikutan tertangkapnya tiga lelaki warga Iran pada minggu pertama bulan ini dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM3.16 juta. - Bernama

Tiada ulasan: