Isnin, 26 Mei 2014

Premis jual coklat dengan DNA babi boleh didenda RM100,000 atau penjara

THE MALAYSIAN INSIDER

Premis yang masih menjual dua jenis coklat Cadbury yang mengandungi DNA khinzir (porcine), boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Roslan Mahayudin berkata hukuman itu, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, tidak kira sama ada penjual di peringkat runcit, pengedar atau pengilang.

"Bagi sesebuah pertubuhan perbadanan pula mereka boleh didenda tidak melebihi RM 250,000.

"Bagaimanapun kadar hukuman itu akan ditentutan di mahkamah sama ada wajar mengenakan RM250,000 atau RM100,000 dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang masih menjual coklat berkenaan sewajarnya memulangkan kembali kepada pihak pembekal dan pengilang.

Katanya arahan juga telah dikeluarkan kepada pejabat-pejabat cawangan KPDNKK di seluruh negara untuk bergerak memantau penjualan coklat itu termasuk di kedai-kedai bebas cukai di lapangan terbang.

Menurutnya KPDNKK akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat pemeriksaan.

"Kami menurunkan kuasa kepada 212 pegawai Jakim di seluruh negara dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk penguatkuasaan berhubung halal ini," katanya.

Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan mendedahkan dua sampel coklat Cadbury, iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam, dikesan mengandungi DNA (Asid Deoksiribonukliek) khinzir.

Jakim menggantung serta-merta sijil pengesahan halal dua produk coklat itu. – Bernama,

Tiada ulasan: