Isnin, 19 Mei 2014

Politik T'ganu: Kita tunggu pilihan raya umum akan datang - kata PAS kepada Umno-BN

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: "Kita tunggu pilihan raya umum akan datang untuk berdepan Umno-BN dengan mandat rakyat yang akan menentukan tampuk pentadbiran negeri", kata wakil rakyat PAS Terengganu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
 
"Jadi yang penting ialah kita tunggu pilihan raya akan datang untuk kita sama-sama masuk semula ke alam pengundian pilihan raya," katanya kepada Antarapos.
 
Jelas Ahli Parlimen Kuala Nerus ini, peralihan kuasa yang berlaku dalam kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini tidak menggambarkan maksud perubahan yang sebenar.
 
Beliau turut menambah PAS akan terus menjadi pesaing terkuat Umno sehingga perubahan dasar dilakukan secara total.
 
"Bagi kita perubahan siapa jadi Menteri Besar daripada parti yang sama itu adalah perubahan orang dan bukan perubahan dasarnya.
 
"Yang kita perjuangkan ialah perubahan dasar dalam pemerintahan dan pentadbiran," katanya.
 
Mohd Khairuddin juga turut mengingatkan Umno-BN bahawa PAS akan berusaha untuk memastikan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada pilihan raya umum akan datang.
 
"Pertama sekali kita dalam PAS punya pandangan bahawa peralihan kuasa dalam kerajaan patut berlaku dalam bentuk pilihan raya bukan dalam bentuk ada orang yang keluar parti bergabung dengan parti yang membangkang.
 
"Ini bukan satu kerajaan yang kuat dan bukan satu kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya mengulas konflik politik yang berlaku baru-baru ini.
 
Untuk rekod, politik Terengganu panas seketika selepas Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu yang kemudian mengumumkan keluar Umno dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas bagi kawasan Kijal.
 
Kekosongan ditinggalkan Ahmad diisi Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
 
Konflik berterusan apabila dua lagi wakil rakyat Umno iaitu ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud mengikut langkah Ahmad sebelum mereka membuat pusingan U, sekali gus menamatkan kemelut politik negeri itu.
 
PAS tak perlukan pemimpin dan wakil rakyat yang kecewa
 
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat berkata parti itu tiada keyakinan serta kepercayaan kepada wakil rakyat yang bertukar haluan.
 
"Kita tidak pasti apa lagi yang akan berlaku, orang yang kecewa dalam politik ini ramai dan orang yang kecewa dalam politik ini tidak boleh kita pegang.
 
"Ia bukan satu bentuk politik yang bagus untuk kita nak mentadbir dan kita tidak boleh bergantung pada orang yang macam ini," katanya.
 
Justeru beliau menambah pilihan raya akan datang menjadi sasaran PAS untuk mentadbir semula selepas kali terakhir pada 2004.
 
"Kita memang bekerja 24 jam tidak kira menang sampai sekarang pun kita masih bekerja.
 
"Kalau ditakdirkan oleh Allah kita menang, itu adalah rezeki yang Allah beri kepada kita.
 
"Kita tidak pernah berhenti atau merajuk hanya kerana situasi orang itu masuk dan orang itu keluar," katanya.
 
Dengan kembali ke pangkuan Umno, kedudukan kerusi DUN kekal dengan 14 (PAS), 17 (BN) dan 1 (PKR), sekiranya konflik berterusan kedudukan sebagai parti pemerintah tergugat dengan PAS akan mengambil alih pentadbiran negeri.
 
Senario yang sama telah berlaku di Terengganu pada 1969, yang mana perbezaan hanya dua kerusi melibatkan Umno dan PAS.
 
Namun kemelut itu berakhir selepas peristiwa 13 Mei, yang mana akhirnya PAS telah memasuki kerajaan campuran pada tahun 1972.

Tiada ulasan: