Jumaat, 9 Mei 2014

Apa jadi dengan siasatan pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, soal DAP

‎OLEH DIYANA IBRAHIM


Ahli DAP, Teresa Kok dan Ong Kian Ming bersama mangsa sindiket penyelupan kereta di Langkawi melibatkan penjawat awam semasa di sidang media di Ibu Pejabat DAP hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 9 Mei, 2014. Ahli DAP, Teresa Kok dan Ong Kian Ming bersama mangsa sindiket penyelupan kereta di Langkawi melibatkan penjawat awam semasa di sidang media di Ibu Pejabat DAP hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim



Selepas setahun kematian Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim, sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai siasatan kes pembunuhan berprofil tinggi daripada pihak polis, kata ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Pemimpin DAP itu berkata, sehingga kini siasatan bagi kes pembunuhan Shaharuddin yang berlaku April lepas menjadi tanda tanya seolah-olah seperti tergantung tanpa sebarang maklumat terbaru mengenai suspek pembunuhan.

"Kita tertanya-tanya apa terjadi dengan siasatan kes tersebut, kerana sudah masuk setahun pihak polis hanya mendiamkan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya dengan ketiadaan maklumat atau perkembangan terbaru kes pembunuhan Shaharuddin, ia jelas bertentangan dengan‎ kenyataan bekas ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar yang menyatakan pihak berkuasa tidak dapat menerima apabila terdapat pegawai tertinggi kerajaan menjadi mangsa.

Shaharuddin ditembak mati di Putrajaya pada 26 April tahun lepas, beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan pistol tersebar ke seluruh negara.

‎Beliau yang mengetuai bahagian Pekastaman dan Cukai Dalam Negeri pada masa itu hanya tinggal setahun untuk bersara sebelum ditembak mati pada 26 April.

Beliau dilahirkan di Negeri Sembilan dan sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama Kastam, dan diberikan jolokan "Mr Clean".

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan kenderaan pacuan empat roda (4WD) ditembak tiga das oleh seorang daripada dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Empat bulan selepas kematian timbalan ketua pengarah kastam, anaknya Mohd Akthar mendedahkan bahawa kematian bapanya mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.

Terdahulu pada sidang media, Ong mendedahkan terdapat ramai pembeli kereta terpakai yang menjadi mangsa kepada sindiket‎ tersebut.

Katanya, kebanyakan mangsa tertipu dengan sindiket yang kemudiannya diberitahu kenderaan itu dari Langkawi, di mana mereka perlu membayar cukai kepada kastam untuk mendapatkan kembali kereta mereka.

Katanya, laporan juga sudah diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sindiket tersebut, namun badan tersebut hanya mendiamkan diri.

Tiada ulasan: