Jumaat, 16 Mei 2014

Najib jangan salahkan hak asasi manusia untuk tutup pencabulan kerajaan, kata DAP

OLEH MD IZWAN

 
Ahli Parlimen DAP, Zairil Khir Johari (gambar) mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertindak menyalahkan "hak asasi manusia" bagi menutup pencabulan dan salahguna kuasa dalam pentadbirannnya.

Zairil berkata, strategi tersebut digunakan bagi tujuan menakut-nakutkan dan menggambarkan umat Islam di Malaysia masih terancam.

"Sangat sedih apabila kerajaan masih cuba dan menguji strategi ancaman tidak wujud bagi membuatkan masyarakat Melayu sentiasa berasa dalam keadaan terancam," kata Zairil.

Selasa lalu, Najib semasa menghadiri Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur berkata umat Islam berdepan satu ancaman baru iaitu "humanrightism" atau "hak asasi manusia melampau".

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, jika sebelum ini masyarakat Cina dianggap sebagai ancaman, sekarang Najib mengganggap hak asasi manusia sebagai ancaman kepada kaum Melayu.

"Penganut Kristian pernah dikatakan sebagai ancaman, kemudian kaum Cina dan sekarang ini aktivis hak asasi manusia pula dianggap begitu.

"Langkah ini bertujuan untuk menghalalkan pemerintahan Umno, kononnya mengaku 'pembela' kepada ancaman ini semua," kata Zairil.

Zairil menyifatkan kenyataan oleh Najib tersebut hanya bertujuan menutup pencabulan hak asasi manusia, khususnya dalam penggunaaan Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma baru-baru ini.

"Pada 2012, Najib berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan tapi sebaliknya pemimpin pembangkang menjadi mangsa, antaranya mendiang Karpal Singh dan terbaru Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli," kata beliau.

Baru-baru ini, 10 individu juga ditahan di bawah Sosma tanpa mengikut proses undang-undang sepatutnya.

Pentadbiran Najib juga dikecam susulan beberapa kes kematian dalam tahanan.

"Sebagai pemimpin, Najib sepatutnya tidak lari daripada tanggungjawab dengan mudah menolak hak asasi manusia sebagai alat Barat untuk mengancam Islam.

"Cubaan mereka cerita bagi menyelindungi pencabulan hak asasi kerajaannya akan diketawakan seluruh dunia jika mendapat tahu mengenainya," kata Zairil.

Tiada ulasan: