Mas (Malaysia Airlines)  
Mas (Malaysia Airlines)


PETALING JAYA - Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu depan meminta penstrukturan semula pengurusan tertinggi Malaysia Airlines (MAS).

Setiausaha Eksekutif MASEU Mohd Jabbarullah Abd Kadir berkata memorandum itu bertujuan memohon kerajaan campur tangan dalam menggantikan pengurusan tertinggi dengan calon baharu yang lebih berkebolehan bagi memajukan syarikat
penerbangan berkenaan.

"Kami mahu pengurusan yang boleh atur strategi terbaik untuk MAS, keadaan sekarang kami tidak nampak apa-apa yang besar dalam industri penerbangan MAS," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabat MASEU di Subang Jaya hari
ini.

Kesatuan itu mendesak Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya meletak jawatan berikutan kegagalan beliau membawa keuntungan kepada syarikat penerbangan itu bagi tempoh tiga tahun berturut-turut sejak dilantik.

Turut didesak berundur ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAS Aerospace Engineering (MAE) Azhari Mohd Dahlan dan Pengarah Sumber Manusia MAS Zahrah Zaid. - Bernama