Jumaat, 16 Mei 2014

MAS kerugian bersih suku pertama RM443 juta, kehilangan MH370 tingkat kerugian

THE MALAYSIAN INSIDER


Malaysia Airlines yang menanggung kerugian bersih RM443 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2014 berbanding RM279 juta dalam suku yang sama tahun lalu.

Ia berkata, kerugiannya bertambah teruk dengan kehilangan pesawat MH370 yang menyebabkan permintaan untuk perkhidmatan syarikat itu merosot.

"Ketika pencarian untuk MH370 diteruskan hari ini setelah lebih dua bulan hilang, kumpulan kami perlu meningkatkan usaha untuk menambah baik aliran pendapatan serta menguruskan kos yang semakin tinggi sejajar dengan peningkatan kapasiti," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya hari ini.

"Keperluan ini menjadi lebih penting untuk kelangsungan hidup Malaysia Airlines dan kemampanan syarikat dalam pasaran yang semakin mencabar," katanya dalam satu kenyataan.

Pesawat MH370 yang membawa 239 orang, termasuk penumpang dan anak kapal, hilang pada pagi 8 Mac lalu.

Pasukan mencari dari pelbagai negara masih berusaha menjejaki pesawat berkenaan yang dipercayai jatuh di Lautan Hindi.

Syarikat itu berkata, tekanan ke atas pendapatan, aktiviti bukan teras yang merugikan serta sentimen negatif ke atas syarikat penerbangan itu, membayangi pertumbuhan trafik udara yang agak tinggi dan usaha penjimatan kos.

Ahmad Jauhari berkata, sebahagian besar kos berkaitan MH370 akan ditanggung syarikat insurans.
"Bagaimanapun, kumpulan kami perlu segera meningkatkan usaha untuk mendapat kembali momentum yang hilang dan meningkatkan pendapatannya," katanya.

Operasi syarikat penerbangan itu merosot untuk beberapa minggu sejak MH370 hilang pada awal Mac.

Aktiviti pemasaran dihentikan sebagai menghormati anggota keluarga mangsa dalam pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing itu, katanya.

Pendapatan syarikat untuk suku pertama meningkat kepada RM3.6 bilion berbanding RM3.53 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu manakala saham syarikat itu jatuh 9.0 peratus kepada 22.5 sen daripada 24.8 sen dalam suku pertama 2014.

Mengenai bahan api pesawat, syarikat itu mengalami peningkatan selari dengan perbelanjaan dengan 11% volum peningkatan bahan api pesawat.

Purata harga bahan api pesawat pada 2014 ialah US$128 (RM416) setong berbanding U$134 setong tahun ke tahun.

Ahmad Jauhari berkata, syarikat penerbangan negara itu sudah dua tahun berusaha untuk menambah baik operasi dan kekal fokus untuk memacu syarikat ke depan dalam usaha untuk kekal sebagai peserta relevan dalam pasaran.

Antara strategi MAS, termasuk menjana pendapatan dengan peningkatan kapasiti di samping usaha pemasaran dan penjenamaan yang lebih agresif.

"Kami mengekalkan komitmen untuk kekal kompetitif bagi menawarkan kualiti produk dan perkhidmatan terbaik dengan keselamatan sebagai keutamaan kami dan memberi pulangan kepada pemegang saham dalam jangka panjang," katanya.

Ahmad Jauhari berkata, produktiviti telah meningkat dan penggunaan pesawat bertambah dengan pengurusan kos yang lebih baik dengan vendor dan pembekal di samping tindakan penting korporat untuk mengumpul modal baru.

MAS kini memiliki 151 pesawat dengan usia purata hanya 4.35 tahun menjelang akhir tahun ini. – Bernama

Tiada ulasan: