Rabu, 21 Mei 2014

Kerajaan negeri kemuka pelan tindakan kepada Pusat



Cadangan penstrukturan semula industri air di Selangor itu telah diserahkan kepada KeTTHA.
khalid ibrahim

SHAH ALAM: Kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penstrukturan semula industri air di Selangor  diselesaikan secepat mungkin selepas tiga syarikat konsesi bersetuju untuk diambil alih oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelan itu mensasarkan proses penstukturan diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Cadangan pelan tindakan bagi memastikan penstrukturan semula industri air di Selangor itu telah diserahkan kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Dr Maximus Ongkili melalui surat bertarikh 20 haribulan Mei,” katanya sewaktu sidang media selepas mesyuarat Exco di Shah Alam

Menurutnya, pihaknya yakin sasaran penyelesaian dapat dicapai berdasarkan perbincangan intensif yang giat dilaksanakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) serta kementerian selaku pemudahcara.

Ujarnya, jadual pelaksanaan antara lain melibatkan KDEB bersetuju mengeluarkan surat tawaran kepada pemegang saham daripada tiga syarikat konsesi yang telah bersetuju, menubuhkan jawatankuasa bersama pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

“Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, PAAB dan KDEB telah memulakan perbincangan berkaitan perjanjian induk yang akan menetapkan prinsip-prinsip penghijrahan kepada model Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

“Ia termasuk pemindahan aset, kaedah penyelesaian pinjaman pembangunan sistem bekalan air kerajaan persekutuan dan negeri serta hal-hal pelesenan perkhidmatan kepada pemilik aset dan operator air yang baharu,” katanya.

Tambahnya, KDEB dan PAAB turut menjalankan proses ‘due diligence’ ke atas ketiga-tiga syarikat konsesi. PAAB perlu mengesahkan nilai aset air yang akan diambil alih, dan KDEB perlu mengesahkan pengiraan nilaian ekuiti dan pemindahan aset PNSB yang juga akan melibatkan Puncak Niaga Sendirian Berhad (PNHB).

“Pelaksanaan ini juga meliputi perjanjian penjualan saham antara KDEB dan pemegang saham PNSB, Syabas dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

“Kerajaan negeri turut akan melaksanakan semakan terperinci mengenai perjanjian utama terhadap perjanjian dengan KeTTHA, kerajaan negeri, PAAB dan KDEB, Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kewangan, serta Unit Perancang Ekonomi Persekutuan dan Unit Kerjasama Awam Swasta

Tiada ulasan: